Analisis

Fahami garis pemisah kebebasan bersuara dengan pernyataan jelek

BANYAK pihak yang menggunakan kebebasan bersuara dan hak asasi manusia untuk bersikap lepas laku atau tidak bertanggungjawab khususnya dalam hantaran ke media sosial. Sedang pernyataan yang dibuat boleh berbentuk fitnah, komen jelek dan buli siber.

Justeru apabila seorang peguam gagal untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung sekatan yang dikenakan terhadap hantaran yang dimuat naik beliau di Facebook, tahun lalu, ia satu tindakan yang tepat dan melegakan banyak pihat.

Jika perkara sedemikian dibenarkan ia boleh menimbulkan pelbagai kejadian yang diluar jangka dan sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

Oleh itu sebagai rakyat di sebuah negara yang mempunyai pelbagai agama dan berbilang bangsa harus memahami tentang perbezaan antara kebebasan (freedom) dan pernyataan jelek (offensive statements). Ia adalah isu penting yang sering dibincangkan dalam konteks hak asasi manusia, etika, dan undang-undang. Kedua-duanya berkaitan dengan ekspresi dan komunikasi, tetapi terdapat garis halus yang memisahkan penggunaan kebebasan yang bertanggungjawab dan pernyataan yang melampaui batas.

Dalam permohonannya itu, peguam berkenaan Shamsher mendakwa MCMC mencabul kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran berkenaan.

Sehubungan itu beliau mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan oleh MCMC sebagai tidak sah, selain mahu MCMC menggugurkan “arahan” menyekat hantaran berkenaan kepada Facebook.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Anand Ponnudurai, berkata tindakan MCMC bukanlah satu “keputusan” yang boleh disemak oleh mahkamah.

Keputusan itu dibuat oleh Facebook dan MCMC hanya mengeluarkan permohonan untuk tindakan diambil, justeru, suruhanjaya itu tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.

Platform media sosial mempunyai kuasa mutlak dalam mengawal kandungan, walaupun apabila digesa oleh pihak pengawal selia seperti MCMC.

Anand juga berkata, Shamsher gagal mengemukakan kes yang boleh dipertikai untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman.

Dalam hantaran beliau, Shamsher cuba mengaitkan pemberian kontrak kerajaan dengan suami seorang Menteri Kabinet, yang mencetuskan perdebatan sengit dalam talian.

Shamsher berkata, Facebook kemudian menyekat siaran itu daripada dilihat dalam negara, selepas “penilaian undang-undang dan hak asasi manusia.”

Dalam hal ini sebagai panduan semua, kebebasan merujuk kepada hak seseorang untuk menyuarakan pendapat, idea, atau kepercayaan mereka tanpa tekanan, ancaman, atau sekatan, selagi ia tidak melanggar hak orang lain atau undang-undang. Contohnya, kebebasan bersuara, kebebasan beragama, dan kebebasan berkumpul.

Manakala pernyataan jelek merujuk kepada ungkapan yang menghina, memperlekehkan, atau menyakiti perasaan orang lain secara tidak wajar, sama ada secara individu atau kumpulan. Pernyataan ini mungkin mengandungi elemen kebencian, penghinaan, atau diskriminasi.

Oleh itu dalam menyatakan kepercayaan atau idea penghormatan kepada hak asasi manusi tidak seharusnya diketepikan selain mengikut lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, yang tidak membenarkan pernyataan mencetuskan kebencian, keganasan, atau diskriminasi.

Penyataan jelek berbentuk penghinaan atau cercaan yang bertujuan mencederakan emosi, maruah individu dan kumpulan sehingga boleh mencetukan ketegangan, konflik dan lebih buruk adalah jenayah kebencian harus dikekang oleh pihak berkuasa.

Perlu difahami kebebasan adalah hak universal, tetapi pernyataan jelek sering kali melanggar norma sosial dan etika.

Kebebasan bertujuan menyatukan atau mencipta dialog yang sihat. Pernyataan jelek pula sering memecah belah masyarakat atau mencetuskan konflik.

Dari segi undang-undang di Malaysia kebebasan bersuara memang dijamin Perkara 10(1)(a)Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia tertakluk kepada sekatan tertentu seperti ketenteraman awam, keselamatan negara, dan moraliti.

Pernyataan jelek seperti penghinaan agama atau kaum boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Di peringkat antarabangsa,  Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Artikel 19, menyatakan hak kebebasan bersuara. Namun, Artikel 20 menekankan kepada larangan ucapan kebencian.

Seperkara yang sering disepelekan ialah kebebasan mengkritik kerajaan. Sering kali yang berlaku adalah perbuatan menghina pemimpin dengan perkataan jelek serta kasar dan lebih parah sehingga menyebabkan kebencian terhadap agama atau kaum tertentu.

Kebebasan adalah hak yang perlu dihargai dan dilindungi, tetapi ia mesti digunakan dengan tanggungjawab. Pernyataan jelek, walaupun kadangkala dilindungi di bawah hak kebebasan bersuara, boleh membawa kesan buruk kepada keharmonian masyarakat. Oleh itu, keseimbangan antara kebebasan dan penghormatan terhadap nilai kemanusiaan adalah kunci untuk membina sebuah masyarakat yang adil dan harmoni.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button