Nasional

Interaksi antara kaum satu pendekatan mengurus kemajmukan – Raja Muda Perlis

PALEMBANG, Indonesia – Interaksi antara kaum di Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa, budaya dan agama sangat penting terutamanya bagi memastikan rakyat dapat terus hidup bertoleransi dan bersatu padu. Interaksi antara kaum ini  juga merupakan salah satu pendekatan dalam mengurus kemajmukan sosial rakyat Malaysia yang berbilang latar belakang agar dapat menghindarkan daripada berlakunya sebarang aktiviti atau sentimen yang mampu menggangu gugat dan menjadi punca kepada perpecahan di kalangan rakyat.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan menyempurnakan simbolik penyerahan tambahan sumbangan ‘Ibnu Sabil’ daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia.

Konsul, Muhammad Amir Azam Mohd Hafiz menerima bagi pihak Konsulat Jeneral Malaysia daripada Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs plaka tersebut di sekitar Benteng Kuto Besak dengan berlatar berlatarbelakangkan Jambatan Ampera (Amanat Penderitaan Rakyat) di Palembang, Indonesia.

Tuanku Raja Muda berangkat ke Palembang bagi menghadiri majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan anak saudara sepupu Baginda iaitu Wan Muhammad Fiqri Mohammad Farish dengan pilihan hati beliau, Amira Nur Zahwa Agus Indra yang berasal dari bandar itu. Palembang merupakan kota tertua di Indonesia berusia 1339 tahun iaitu sejak Jun 682 Masehi. Palembang juga dianggap sebagai salah satu pusat dari Kerajaan Sriwijaya yang sudah ada sejak abad ke-7 lagi.

Turut berangkat mengiringi Baginda adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta lebih daripada 20 orang lagi ahli kerabat diraja Perlis.

Untuk rekod, Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs ini merupakan sebahagian daripada insitiatif tanggungjawab MAIPs bagi membantu dan menyalurkan bantuan untuk membantu umat islam yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri, terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda bersama-sama anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail menitahkan ucapan selamat bergembira kepada semua rakyat Negeri Perlis yang menyambut ‘Tahun Baru Cina’ pada hari rabu, 29 Januari 2025 ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seisi keluarga juga berharap semoga semangat kasih sayang, saling menghormati, bertolak ansur dan perpaduan terus mekar segar dan sentiasa dipertambah baik dari masa kesemasa di kalangan masyarakat di negeri ini.

Ucapan yang sama turut dititahkan kepada semua rakan dan taulan tidak kira di mana sahaja mereka berada di dalam mahupun luar Perlis dan juga Malaysia.

Foto : Ihsan MAIPs.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button