Rencana

Wow jurutulis zaman Mesir Purba pun ada kedudukan

Jika anda nak tahu, jurutulis ada kedudukan yang tinggi dalam status sosial Mesir purba. Ini kerana para jurutulis ini belajar selama beberapa tahun untuk membaca dan menulis. Malah, dalam hierarki sosial Mesir, para jurutulis ini ada peluang untuk menjadi paderi, tabib dan pegawai kerajaan. Paling mengejutkan, ada seorang jurutulis Mesir purba bernama Horemheb telah menjadi Firaun!

Sistem sosial Mesir purba meletakkan status jurutulis ini pada stau kedudukan yang tinggi kerana mereka inilah yang jadi penghubung antara masyarakat dengan pihak kerajaan atasan. Dalam kawasan kampung, merekalah ketuanya. Tugas mereka termasuklah merekodkan aktiviti kampung, mengawasi penggunaan bahan dari gudang diraja, menerima dan mengagihkan gaji, mengesyorkan calon untuk kekosongan dalam tenaga kerja, serta menjadi ketua majistret di mahkamah tempatan dan ketua saksi untuk sebarang sumpah yang dijalankan.

Tulisan hieroglif orang Mesir kuno adalah rumit dan indah, jadi mereka yang menguasainya memegang kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Jurutulis adalah pelindung dan pembangun budaya Mesir kuno, dan mengendalikan pusat penyelidikan akademik serta memastikan kelancaran urusan negara. Para jurutulis bukan sahaja menyalin teks sedia ada untuk mengekalkannya untuk generasi akan datang, mereka juga menyunting karya sedia ada dan menulis teks baharu. Mereka dianggap sebagai ahli istana diraja dan disebabkan ini mereka tidak perlu membayar cukai, menjalankan perkhidmatan tentera, atau melakukan kerja kasar.

Jurutulis kebiasaannya akan menulis pada kepingan batu kapur yang dipanggil ostraca. Seseorang jurutulis, meskipun dilahirkan dalam keluarga yang hina asal-usulnya, namun dengan pengetahuan membaca menulis, mereka boleh mencapai hampir semua perkara. Inilah yang berlaku kepada Horemheb. Dia dilahirkan dalam keluarga pertengahan, dan pembelajarannya dalam penulisan telah membawanya mencapai kedudukan dalam tentera.

Horemheb ini menjadi jurutulis rasmi dan jeneral tentera di bawah Tutankhamun. Sebagai penasihat rapat Firaun, Horemheb dilantik sebagai ‘Timbalan Raja di seluruh Dua Tanah’, dan dijangka akan menggantikan takhta sekiranya raja itu mati tanpa anak. Dia terpaksa menunggu beberapa tahun, tetapi akhirnya Horemheb mencapai kemuncak kerjayanya dengan menjadi firaun terakhir Dinasti ke-18, lalu memulakan reformasi dramatiknya kepada organisasi tentera, badan kehakiman dan pentadbiran secara amnya.

Jurutulis sememangnya kerjaya terbaik daripada semua profesion dalam Mesir Purba. Malah, ketika itu, ada yang menganggap jurutulis ini adalah pemegang kuasa besar dalam pentadbiran dan mampu mengubah apa sahaja.

Oleh: Farahi Kamaruddin.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button