
Along Cham dijangka failkan pengesahan cerai taklik hari ini
PELAWAK dan pelakon terkenal, Along Cham dilaporkan bakal mengambil langkah memfailkan pengesahan cerai secara taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, di Mahkamah Syariah Putrajaya, hari ini.
Memetik laporan Kosmo, Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, dijangka hadir ke mahkamah sekitar jam 11 pagi untuk proses tersebut.
“Along Cham akan memfailkan cerai taklik di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini,” menurut sumber berkenaan.
Usaha Dapatkan Penjelasan Gagal
Bagaimanapun, usaha pihak media untuk mendapatkan kenyataan rasmi daripada Along menemui jalan buntu apabila panggilan telefon kepadanya tidak berjawab.
Peguamnya, ketika dihubungi, juga enggan mengulas lanjut dan meminta agar perkara itu dirujuk terus kepada Along atau isterinya.
“Maaf, saya rasa soalan itu lebih sesuai diajukan kepada tuan punya badan,” katanya ringkas.