Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yakin Program Skim Getah Matang (SGM) mampu menangani masalah kebun getah terbiar di Perlis.
Ini berikutan sebelum ini, Perlis banyak bergantung kepada tenaga buruh yang didatangkan dari Thailand bagi melakukan kerja menoreh.
Bagaimanapun dengan kejatuhan Ringgit Malaysia berbanding Bath Thai maka tenaga buruh dari negara berkenaan enggan masuk ke Perlis bagi melakukan kerja menoreh getah.
“RISDA yakin dengan kehadiran 350 pekebun getah hari ini maka sasaran 1,800 kilogram getah sehektar setahun dengan pendapatan lebih RM1,500 akan tercapai,” kata Ahli Pihak Berkuasa RISDA, Ruzaini Rais kepada media.
Sebelum itu beliau merasmikan GPPG di Dewan Melati, Beseri, Padang Besar hari ini.
Hadir sama Pengarah RISDA Perlis, Ismail Jaafar.
Pada majlis ini juga diadakan penyampaian cek replika bagi pelbagai anugerah untuk pekebun kecil yang berjaya.
Ruzaini berkata, dengan pelbagai jenis bantuan oleh RISDA ini diharap akan direbut sepenuhnya oleh pekebun kecil getah di negeri ini.
“Gunakan peluang ini supaya semua kebun getah yang selama ini terbiar akan kembali aktif dan produktif,” katanya.
Dari siaran akhbar RISDA pula, sebanyak lima inisiatif utama diperkenalkan melalui Program SGM bagi meningkatkan hasil getah secara optimum.
SGM merangkumi inisiatif secara lima peringkat dengan penambahan bantuan Skim Getah Matang Tanam Semula bernilai RM7,700 di Semenanjung dan RM8,400 di Sabah dan Sarawak.
Antara inisiatif itu termasuklah bantuan baja, set torehan dan racun rumpai bernilai RM2,300 per hektar di Semenanjung dan RM2,500 per hektar di Sabah dan Sarawak.
Selain bantuan tanam semula, juga disediakan Skim Insentif Lateks (SIL) dan Skim Harga Lateks (SHL) bagi pekebun kecil yang berminat dalam pengeluaran lateks. – SM