Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan perkataan ‘tatakelola’ atau tadbir urus yang menjadi tanda dagang (trademark) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bertukar menjadi ‘tatakelaut’.
Ia ekoran keraguan Ahli Parlimen Pagoh itu terhadap kemampuan Anwar untuk mengotakan janjinya seperti dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Isnin lalu.
Katanya, kecurigaan itu semakin membuak-buak apabila Anwar memetik hadis yang menyentuh sifat ‘amanah’ dalam usaha merealisasikan KSP RMK12.
“Salah satu anjakan besar kajian separuh penggal yang dibentang, dinyatakan strategi untuk memperkukuh tatakelola dan integriti bagi membina semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.
“Tambun (Anwar) semasa pembentangan RMK12 memetik hadis berkenaan dengan sifat amanah. Pernyataan ini baik tetapi saya sangsi dengan kemampuan beliau untuk mengotakan apa yang dikata.
“Tatakelola katanya sudah menjadi ‘tatakelaut’. Tidak sampai setahun jadi kerajaan, janji-janji reformasi yang dicanang sepanjang lebih 20 tahun dahulu sudah jadi ‘reformati’,” katanya semasa perbahasan KSP RMK12 di Dewan Rakyat hari ini, lapor Utusan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, terdapat juga janji kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri menyaksikan Anwar mengumumkan pelaksanaan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang dan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.
“Kedua-duanya di negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. Cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang berada di negeri Perikatan Nasional (PN) langsung tidak disebut.
“Begitu juga janji menyediakan peruntukan sama rata bagi semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dilaksana. Di mana sifat amanah, adil dan integritinya?” soalnya.
Minggu lalu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau berasa sedih terhadap Anwar sempena ulang tahun ke-25 reformasi baru-baru ini telah ‘dibatunisankan’ menjadi ‘reformati’.
Beliau dilaporkan berkata demikian dalam program podcast Keluar Sekejap (KS) bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan pada Rabu.
Ini berhubung kes pelepasan tanpa pebebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram. – SM
BACA Zahid dilepaskan: Muhyiddin mahu Anwar ambil tanggungjawab
BACA “Saya tak campur tangan kes Ahmad Zahid,” PM Anwar