fbpx
Politik

Reformasi hanya retorik – Shahrir

UMNO dikatakan berperanan secara institusi dalam melakukan perubahan dan kemajuan terhadap bangsa dan negara ketika pentadbirannya.

Hal tersebut termasuklah proses tranformasi yang dilakukannya ketika menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ia dikatakan sebagai peranan parti konservatif yang membawa perubahan secara realiti bukan retorik seperti laungan reformasi oleh parti lain.

Ini kerana, peranan UMNO yang berfahaman konservatif secara berinstitusi mentadbir negara dengan mendukung sistem demokrasi dan raja berperlembagaan.

“Peranan institusi dalam pembentukan masyarakat dan negara sememangnya penting demi kemajuan dan perubahan masyarakat dan negara dalam kerangka yang stabil.


“UMNO tetap parti politik berfahaman konservatif kerana pertahankan kerangka institusi sambil membawa perubahan dan kemajuan.

“Transformasi, bukannya reformasi. Transformasi membuahkan perubahan dan kemajuan. Sebaliknya, reformasi setakat retorik.”

Demikian kata veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian dengan mengongsikan tulisan seorang penulis dalam Facebooknya, Ayman Rashdan Wong, yang menulis mengenai mana dan peranan konservatif.

Kata Shahrir, tulisan tersebut mengingatkannya kembali untuk berfikir supaya tidak tersasar atau terkeluar daripada landasan perjuangan partinya, UMNO.

“Saya memang gemar dengan penulisan Ayman Rashdan. Ia membuat saya berfikir supaya saya tidak terlajak dari landasan perjuangan,” ujarnya.

Sementara itu, Ayma Rashdan dalam tulisannya menjelaskan peranan dan sejarah konservatif membawa perubahan kepada sistem pemerintahan monarki kepada demokrasi.

Beliau memetik sejarah Revolusi Perancis yang berlaku pada tahun 1789 apabila penduduk Paris bangkit menentang kerajaan monarki Louis XVI yang dianggap korup dan zalim.

Penentangan itu menyebabkan beberapa perubahan dilakukan termasuk menghadkan kuasa mutlak raja menjadi raja berperlembagaan.

Selain itu, Revolusi Perancis turut memperlihatkan Deklarasi Deklarasi Hak Manusia dan Warganegara (Declaration of the Rights of Man and Citizen) yang mengisytiharkan bahawa semua rakyat mempunyai hak yang sama rata dan kedaulatan terletak pada rakyat.

Walau bagaimanapun, apabila berita tersebut sampai ke Britain, seorang ahli Parti Whig, Edmun Burke yang terkenal sebagai lantang mengkritik monarki dilihat tidak sehaluan dengan gerakan Revolusi Perancis.

Ayman Rashdan menerangkan, Burke mengkritik Revolusi Perancis kerana memperjuangkan idea-idea yang abstrak dan samar-samar.

Katanya, bagi Burke, idea-idea seperti hak semula jadi manusia (natural rights of man) dan kedaulatan rakyat (popular sovereignty) yang diperjuangkan oleh para revolusioner sekadar perkataan-perkataan “fancy” ciptaan intelektual mutakhir seperti Voltaire dan Rousseau.

Oleh demikian, idea tersebut dikatakan bahaya kerana tidak mempunyai maksud jelas dan boleh dimanipulasi sesiapa sahaja berbanding dasar dalam institusi raja yang jelas tegas dan berinstitusi. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button