Politik

Perutusan Krismas oleh Anwar memetik ayat dalam kitab Yahudi

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang diketahui umum sering berkongsi petikan-petikan dalam bahan bacaannya ketika berucap.

Oleh demikian, sempena sambutan Hari Natal, beliau dilihat memetik sepotong ayat daripada Psalm, iaitu tulisan dalam salah satu kitab Yahudi, Kethuvim, yang menyentuh tentang keadilan.

Petikannya itu dilihat ditujukan kepada semua pihak khususnya kerajaan dalam memastikan pentadbiran kerajaan dilaksanakan secara adil.

Katanya, seruan itu tidak sepatutnya menjadi retorik semata-mata dan perlu dilaksanakan dengan benar serta komited.

“Seruan universal bagi mengangkat keadilan dan kesaksamaan mesti diterjemahkan dalam amalan dan sikap kita.


“Terutamanya dalam persoalan tatakelola dan pentadbiran agar ia tidak sekadar retorik yang sering kita ulang tanpa komitmen jelas kepadanya.

“Menurut Psalm 106:3: ‘Berbahagialah segala orang yang menegakkan keadilan dan yang berbuat kebajikan pada setiap ketika'”.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden PKR itu dalam perutusan khas sempena Hari Natal dan tahun baharu 2021.

Beliau berkata, tahun 2021 bakal menyaksikan proses perjalanan terutama sektor ekonomi dalam pasca Koronavirus (Covid-19) yang dihadapi di seluruh dunia.

“Rakan dan sahabat handai kita yang menganut Kristian akan menyambut perayaan Hari Krismas. Kita sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan budaya yang pelbagai pasti merasakan kemeriahannya setiap tahun.

“Setiap perayaan-perayaan besar di negara ini wajar dijadikan pemangkin dalam meningkatkan semangat kerukunan dan jamak budaya.

“Aktiviti kunjung mengunjung mungkin terkesan dengan tantangan yang dibawa wabak Covid-19, namun ia tidak seharusnya menjauhkan kita dari iltizam murni ini.

“Tahun 2021 juga akan mempersiapkan kita dengan prospek ekonomi pasca Covid-19 yang menunjukkan demokrasi-demokrasi besar di dunia masih merangkak dalam mencapai pertumbuhan.

“Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2021 kepada semua rakyat Malaysia,” ucapnya. – SM

(Visited 2,677 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button