Oleh : ZEE BEE
KETIKA melalui sebatang jalan di ibunegara, saya ternampak seorang lelaki warga emas dengan penuh kepayahan mengayuh basikal bersama barang-barang lusuh.
Saya yakin mengutip barangan tersebut termasuk tin adalah sumber pendapatannya.
Apabila melayari laman-laman sosial terdapat pula pelbagai keluhan rakyat berhubung kos sara hidup malah ada pelajar UPSR menolak tawaran ke sebuah sekolah berasrama penuh kerana ibu bapanya tiada kemampuan kewangan.
Hakikatnya banyak lagi rintihan rakyat yang terus kedengaran dari semasa ke semasa, tetapi soalnya adakah ahli-ahli politik khususnya dalam kerajaan memberi perhatian kepadanya?
Apa yang kita tahu dan sering dihidangkan ialah pertempuran politik tidak berkesudahan khususnya melibatkan `serangan’ ke atas pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu. Penulis tidak menyokong sesiapa dan penulis tidak memihak kepada mana-mana individu, tetapi apa yang penulis persoalkan apakah sebenarnya wajah Malaysia yang mahu kita bentuk apabila kita melangkah ke tahun 2020?
Tidak menafikan komitmen Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memajukan Malaysia melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 setelah Wawasan 2020 tidak tercapai, tetapi semua itu tidak akan tercapai jika dari semasa ke semasa rakyat terus dihidangkan dengan perbalahan politik tidak berkesudahan.
Rakyat sudah muak dan letih kerana di saat mereka berhadapan dengan kepayahan hidup, kerajaan yang mereka pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 seolah-olah tidak berupaya melakukan apa-apa.
Rekod prestasi para menteri pula dianggap oleh rakyat sekadar `syok sendiri’, impak kepada rakyat tidak ada.
Mungkin secara jujurnya kita tidak boleh menyalahkan Dr.Mahathir seratus peratus. Apa yang penting ialah peranan menteri-menteri untuk memastikan segala program mestilah bertujuan untuk mensejahterakan hidup rakyat.
Tetapi apa yang kita lihat, ketika ini ialah pertarungan politik tidak berkesudahan dan pembongkaran serta pendedahan yang seolah-olah mahu membuktikan `betapa jahat’ pemimpin kerajaan terdahulu.
Soalnya, apa yang rakyat dapat?
Rakyat sudah bosan dengan adegan politik yang tiada penamatnya. Justeru itu adalah lebih baik jika tahun 2020 benar-benar menampakkan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mensejahterakan rakyat dan memakmurkan negara.
Fikirkanlah bagaimana mahu mengurangkan beban hidup rakyat dan bukannya terus berpolitik sepanjang masa.
Hakikatnya rakyat sudah `kenyang’ dan `hampir termuntah’ disumbatkan dengan pertempuran politik sejak sebelum PRU-14 lagi.
Apabila mereka membuat keputusan menumbangkan Barisan Nasional (BN), mereka mengharapkan kehidupan mereka lebih baik dan Pakatan Harapan benar-benar mengubah wajah Malaysia.
Benar `wajah’ Malaysia diubah tetapi daripada keadaan yang dicanangkan teruk, hakikatnya bertambah teruk.
Oleh itu rakyat mengharapkan Dr.Mahathir akan melakukan sesuatu bagi membela nasib rakyat.
Kalau perlu melakukan rombakan Kabinet, lakukanlah!. Jika rombakan itu demi kebaikan rakyat, pasti mereka akan menyokongnya.
Apa yang pasti rakyat kini sedang merintih, belalah nasib mereka! – SM