GERAKAN Pengundi Sedar (GPS) melancarkan petisyen Rakyat Desak Kerajaan Haramkan Dong Zong.
Petisyen yang menyasarkan sebanyak 300,000 tandatangan netizen itu sehingga pukul 8.30 pagi ini berjaya menerima hampir 215,000 sokongan.
Ia susulan penentangan Dong Zong terhadap keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid tahun empat sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil.
Akibat penentangan itu akhirnya kerajaan bersetuju untuk bertolak ansur dengan melonggarkan syarat pelaksanaannya sehingga pembelajaran itu menjadi pilihan (optional) dan setakat tiga muka surat dalam buku teks.
Bagaimanapun keputusan itu tetap tidak memuaskan hati Dong Zong yang menggerakkan petisyen membantah tulisan Jawi.
Mereka turut mengumpul pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina dan India bagi menyokong tindakan menentang usaha tersebut.
Agak malang, Dong Zong cuba bermain dengan sentimen agama apabila ‘memfitnah’ tulisan Jawi dan khat sebagai satu usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam.
Ini menimbulkan fitnah yang besar kepada negara terutamanya umat Islam di Malaysia.
Untuk rekod, Dong Zong sebelum ini banyak terlibat dengan usaha menekan kerajaan dengan mengemukakan pelbagai tuntutan rasis.
“Maka, kita tuntut agar pertubuhan Dong Zong ini diharamkan oleh kerajaan dan kami yakin bahawa ada banyak lagi pertubuhan cina yang jauh lebih sederhana, patriotik dan moderat,” kata GPS melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Berikut adalah senarai 20 ‘dosa’ Dong Zong dan Jiao Zong kepada negara yang disiarkan GPS dipetik daripada Facebook Dr. Kamarul Yusoff.
(1) Menentang Penyata Barnes 1951.
(2) Menentang Ordinan Pelajaran 1952.
(3) Menentang Kertas Putih Pelajaran 1954.
(4) Menentang Penyata Razak 1956.
(5) Menentang Ordinan Pelajaran 1957.
(6) Menentang Penyata Rahman Talib 1960.
(7) Menentang Akta Pelajaran 1961.
(8) Mengetuai Gerakan Universiti Merdeka 1968 dan 1969.
(9) Menentang arahan membatalkan UEC pada 1975.
(10) Menuntut penubuhan Universiti Merdeka dari Yang di-Pertuan Agong pada 1978.
(11) Mencabar tindakan Yang di-Pertuan Agong menolak penubuhan Universiti Merdeka di mahkamah pada 1980.
(12) Menentang Dasar Kebudayaan Negara pada 1983.
(13) Menentang Rancangan Sekolah Integrasi pada 1985.
(14) Menentang lantikan guru tidak berbahasa Cina pada 1987.
(15) Menghidupkan semangat Universiti Merdeka yang ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong dan mahkamah dengan menubuhkan New Era College di tapak yang dimaksudkan untuk penubuhan Universiti Merdeka pada 1998.
(16) Mengetuai Suqiu membuat 17 tuntutan rasis pada 1999.
(17) Menentang Rancangan Sekolah Wawasan pada 2000.
(18) Menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2002.
(19) Melancarkan kempen mengembalikan kerakyatan mendiang Lim Lian Geok yang ditarik balik oleh kerajaan kerana mengetuai penentangan ke atas Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 pada 2011 dan menuntut layanan saksama kepada SJK dalam kempen ini.
(20) Menentang pengajaran tulisan Jawi di SJK pada 2019.