RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Balai Menghadap Biru, Istana Arau hari ini.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sepanjang kunjungan sembah mengadap selama sejam setengah itu, Raja dan Raja Muda berkenan berbincang bersama Anwar berhubung perancangan pembangunan Perlis khususnya projek mega yang melibatkan Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Padang Besar dan juga Jeti Sanglang, yang mampu menjadi tonggak pemangkin untuk menaik taraf kesejahteraan rakyat dan sosio ekonomi negeri Perlis.
Kenyataan Istana Arau juga menyebut, Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap sokongan dan komitmen yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyokong secara berterusan Kerajaan Negeri Perlis dalam segala aspek terutama sekali hal kebajikan dan pembangunan negeri serta rakyat.
Baginda penuh yakin Anwar sebagai Perdana Menteri akan terus komited dalam membantu negeri Perlis. – SM