Nasionalpilihan

KPDN Melaka rekod rampasan bernilai RM4.9 juta

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan rampasan bernilai RM4.9 juta membabitkan 317 kes sejak Januari sehingga 31 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, ia adalah hasil daripada pemeriksaan ke atas 30,021 premis serta 785 aduan yang diterima daripada orang ramai.

“Sebanyak 20 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM4.8 juta dan kompaun yang diterima sebanyak RM30,000.

“Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 merekodkan kes tertinggi sebanyak 189 kes dengan nilai rampasan hanya berjumlah 1,549.70 dengan nilai kompaun berjumlah RM35,600,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023 di sebuah pasaraya di Cheng di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.


Dalam pada itu Hee Sem berkata, peniaga di negeri ini khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Bandar Hilir diingatkan untuk mematuhi arahan meletakkan tanda harga jika tidak mereka akan terus dikenakan tindakan kompaun serta-merta.

Tegasnya, KPDN negeri tidak akan berkompromi ekoran sikap peniaga yang masih terus engkar dan tidak mempedulikan arahan untuk meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual mereka.

Katanya, penguatkuasa akan turun ke setiap tempat untuk memastikan peniaga meletakkan tanda harga barangan yang mereka jual.

“Saya lihat peniaga di Jonker Walk masih degil walaupun kelmarin sudah ditegur tetapi semalam hasil tinjauan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mereka masih tidak meletakkan tanda harga,” ujarnya.

Ujarnya, tiada lagi amaran akan diberikan seperti sebelum ini sebaliknya peniaga akan terus diberikan notis kompaun serta merta jika didapati mereka tidak meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual. – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button