Berita

Raja Muda saran rakyat Perlis terap sikap berdaya saing

Setiap rakyat negeri Perlis perlu menerapkan ‘Sikap Berdaya Saing’ dalam hati sanubari masing-masing.

Menang adalah motif utama bagi seseorang pesaing. Individu begini selalu lebih mementingkan sejauh mana prestasinya lebih baik berbanding dengan orang lain dalam satu-satu interaksi.

Dalam situasi persaingan, sikap adalah salah satu elemen penting dalam menentukan sesebuah kejayaan. Contoh sikap yang dimaksudkan ialah seperti rajin, jujur, bertanggungjawab, optimistik, riang dan sebagainya.

Justeru, teruskanlah bersaing secara sihat dalam mencapai apa sekali matlamat peribadi yang diimpikan. Teruskanlah mempamerkan sifat dan sikap yang baik di dalam melakukan persaingan.

Berlumba-lumbalah untuk menjadi yang terbaik di kalangan anda, namun pada masa yang sama bantulah juga rakan seperjuangan untuk sama-sama berjaya.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Kangar, Tahun 2020’ berslogankan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan dihadiri oleh 234 pelajar sekolah berkenaan.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengetua sekolah, Norazlina Hassan dan Ketua Penyelaras Bersama Program iaitu Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir serta Hakim Khan.

Hadir sama, Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Hj Izmi Ismail dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis, persaingan juga boleh memotivasikan individu itu untuk lebih melakukan yang terbaik. Dalam persekitaran pembelajaran, pelajar bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan markah yang terbaik di dalam akademik. Sikap bersaing seumpama ini merupakan satu bentuk persaingan yang sihat.

BACA: Pendidikan harus dipersembah dalam citra yang menggamit minat – Raja Muda Perlis

Walaubagaimanapun, menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, bukan semua pelajar mempunyai sikap persaingan yang positif Bagi sesetengah individu tertentu, mereka akan menerima apa sahaja keputusan dalam akademik yang diperolehi tanpa melakukan ‘usaha’ yang sepatutnya, seolah-olah mereka tidak mempunyai matlamat yang perlu dicapai. Inilah yang perlu diubah dalam diri pelajar kita.

Individu yang sentiasa berusaha untuk bersaing, menguji kebolehan diri seterusnya berjaya di dalam kehidupan mereka secara tidak langsung dapat memenuhi harapan orang lain terhadap diri mereka terutama oleh kedua ibu bapa atau penjaga.

Sentiasalah juga memperbaharui niat dan memotivasikan diri dan rakan-rakan agar lebih bersemangat untuk bersaing secara sihat di dalam Pelajaran, bahkan di dalam bidang-bidang yang lain juga seperti sukan serta aktiviti bukan akademik.

BACA: Raja Muda Perlis seru institusi pendidikan berperanan lahir lebih ramai intelektual

Sempena majlis tersebut Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan merasmikan ‘Taman Doktor Muda’ untuk Kelab Doktor Muda sekolah itu dengan melepaskan beberapa ikan koi sebagai simbolik ke dalam kolam yang dibina di situ.

Untuk rekod, SMK Dato’ Ali Ahmad telah mencapai pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2019 yang lalu termasuklah terpilih mengambil bahagian di peringkat antarabangsa bagi Kedah International Invitational Lego Robotics Bowling Competition, Innovative Research, Invention and Application Exhibition UUM, Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition serta International Eureka Innovative Exhibition.

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button