Nasional

Raja Muda Perlis zahir penghargaan kepada penyumbang zakat, fitrah

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada para penyumbang zakat dan fitrah melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sentiasa meringankan tangan mereka bagi membantu golongan asnaf.

Baginda menzahirkan penghargaan tersebut selepas berkenan berangkat melaksanakan program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ bilangan ke 16 bagi tahun 2020 di sekitar kawasan Kg Gial dan Kg Kok Mak sejauh 14km pada petang semalam.

Turut mengiring ialah anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

“Para penyumbang zakat dan fitrah adalah ‘wira tidak didendang’ bagi golongan asnaf dan budi baik mereka memberikan senyuman kepada asnaf bagi menyambut lebaran yang bakal menjelma”, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah, MAIPs telahpun menyalurkan sumbangan berjumlah RM4 juta dalam bentuk ‘Bantuan Zakat dan Fitrah’ kepada golongan asnaf fakir miskin dan muallaf di seluruh negeri Perlis.

Dalam hubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan bahawa bantuan yang dihulurkan melalui skim ‘Bantuan Zakat Fitrah’ atau sering dirujuk oleh masyarakat setempat di negeri ini sebagai ‘duit rubuk’ itu adalah dikhususkan kepada golongan asnaf yang dikenalpasti oleh Jawatankuasa Kariah Masjid masing-masing atas sebab kelayakan fakir miskin mereka dan bukan dipilih kerana faktor usia, kesihatan atau status ibu tunggal.

“Sepanjang tahun 2019 dan awal tahun ini, Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh negeri Perlis turut melaksanakan ‘Program Ziarah Dakwah Bil Hal’ yang juga merupakan salah satu mekanisme mendekati dan menjejaki warga asnaf dalam kariah mereka selain ianya merupakan aktiviti turun padang bagi menghulurkan bantuan serta komitmen tindakan ambil peduli kepada nasib yang menimpa mereka,” jelas beliau.

Mohd Nazim menambah bahawa pendekatan turun padang sentiasa dititik beratkan oleh MAIPs agar isu-isu dan permasalahan yang dihadapi golongan asnaf yang mungkin ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya, tidak dapat bekerja dan sebagainya dapat disantuni dengan lebih bermanfaat serta berkesan oleh para amil dan Pekhidmat Majlis (Kakitangan MAIPs).

“Selain turun padang yang dilaksanakan oleh kepimpinan masjid di peringkat kariah, Pekhidmat Majlis juga dimestikan turun padang melalui Skuad Lawatan dan Tinjauan Asnaf, Ziarah Pengurusan MAIPs, selain Tuanku Raja Muda Perlis sendiri selaku Yang DiPetua MAIPs turut melaksanakan Program MAIPs Peduli bagi menjejaki dan menyantuni asnaf,” tegas beliau.

Kayuhan MAIPs Peduli yang diadakan secara percubaan bagi mencari rentak normal baharu penganjurannya setelah bermula sejak 2013 lagi selepas ini pada petang semalam merupakan program pertama yang dilaksanakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diumumkan Kerajaan akibat penularan wabak Covid-19. Kayuhan terakhir sebelum ini telah diadakan pada 14 Mac 2020 dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah iaitu sudah melebihi daripada 60 hari yang lalu.

Mohd Nazim menerangkan bahawa MAIPs mengekalkan kaedah turun padang melalui program berkenaan tetapi terpaksa mengubah sebahagian pendekatan dengan mengambil kira peraturan dan langkah keselamatan antaranya menghadkan bilangan peserta tidak melebihi 10 orang, tidak lagi nenghimpunkan para penerima sumbangan, melaksanakan penjarakan sosial, memakai pelindung mulut dan hidung serta mengelakkan penglibatan menziarahi kediaman asnaf dalam golongan berisiko jangkitan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button