Nasional

Muhammad Sanusi angkat sumpah Menteri Besar Kedah

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Muhammad Sanusi, 46, melafaz sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, 3.05 petang ini pada majlis yang berlangsung di Pejabat Sultan Kedah di wisma berkenaan.

Hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim mengumumkan bahawa Sultan Sallehuddin telah memperkenan pelantikan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.

Meurut BERNAMA pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu mendapat sokongan majoriti ADUN.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi DUN Jeneri selepas menewaskan Mahadzir Abdul Hamid (BN-UMNO) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH-PPBM) dengan majoriti 2,455 undi.

Terdahulu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengumumkan melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta merta selepas kehilangan kepercayaan majoriti ADUN negeri ini.

Ammar dalam satu kenyataan akhbar berkata, Sultan Sallehuddin berkenan melantik
Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu.

Menurutnya, pada hemat baginda, Muhammad Sanusi telah mendapat kepercayaan majoriti
ADUN.

“Pelantikan Menteri Besar Kedah yang baharu adalah sebagaimana yang diperuntukkan di
bawah Perkara 35 dan Perkara 37(2)(a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.” katanya.

Menurut Ammar, baginda telah mengadakan perjumpaan dengan semua ADUN di negeri ini
pada 15 Mei lalu dan mendapati Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak lagi mendapat
kepercayaan majoriti.

Sehubungan itu, baginda juga telah berkenan menerima peletakan jawatan Mukhriz dan
Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) lain pada hari ini selaras dengan Perkara 37
(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Mukhriz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah selepas tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN.

Jumlah keselurahan ADUN di Kedah adalah 36 orang dan daripada jumlah tersebut seramai
23 ADUN menyokong Perikatan Nasional (PN) manakala 13 kerusi lagi menyokong Pakatan
Harapan (PH). – SM

 

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button