Nasional

Raja Muda Perlis santuni petugas Dapur Jalanan, Bulan Sabit Merah

Warga sukarelawan dan petugas-petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) dan juga Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Kuala Lumpur di Jalan Panggong Kuala Lumpur amat teruja disantuni Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika mereka bertugas di ibu negara pada petang semalam.

Selain berkenan berangkat menyantuni dan beramah mesra bersama dengan mereka, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengurniakan sebuah kek kepada petugas-petugas berkenaan sempena meraikan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-55 yang jatuh pada 30 Disember baru-baru ini.

Keberangkatan baginda yang singgah secara mengejut tersebut adalah bersempena Kayuhan Berbasikal Santai DiRaja anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melihat suasana rakyat jelata meraikan tahun baharu 2023 di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Adbul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Pada kesempatan tersebut Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar yang merupakan Koordinator dan Setiausaha DJKL mempersembahkan taklimat tentang fungsi dan peranan DJKL dalam menghimpunkan para sukarelawan khususnya dalam kalangan anak muda untuk membuat kerja-kerja melalui perkongsian makanan dan aktiviti amal yang lain kepada golongan gelandangan dan miskin bandar di kawasan sekitar termasuk membantu golongan ini untuk mendapat maklumat dan prosedur yang betul tentang bantuan kerajaan yang layak diperolehi.

Quratulain yang juga merupakan Peguam dari firma Tetuan Shahrizan & Co. turut menjelaskan bahawa DJKL bukan hanya tertumpu pada aktiviti perkongsian makanan sahaja, malahan turut menghantar pasukan sukarelawan ke kawasan yang dilanda bencana. Aktiviti rutin DJKL diadakan pada setiap hari ahad dari jam 4.30 sehingga 6.30 petang yang melibatkan antara 15 hingga 20 orang sukarelawan dan mensasarkan untuk membantu dalam 120 hingga 150 orang yang tidak berkemampuan.

Wakil PBSM pula iaitu Dr. Chatichai Chong Jian Wei yang merupakan Ahli Lembaga Pengelola Kebangsaan PBSM turut berkongsi maklumat kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenaan peranan PBSM KL yang bekerjasama dan membantu DJKL menjalankan aktiviti amal terutama dalam membuat pemeriksaan saringan kesihatan yang asas secara percuma dan memberi nasihat serta kesedaran tentang aspek kesihatan.

Chatichai yang juga merupakan Ketua Eksekutif Pemasaran syarikat Arus Oil turut menjelaskan bahawa kumpulan profesional seperti Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Jururawat dan lain-lain turut terlibat sebagai sukarelawan dan turut mrmbekalkan ubat-ubatan asas kepada golongan yang tidak berkemampuan yang hadir.

Tuanku Raja Muda berharap agar lebih ramai pihak yang membantu usaha murni pihak DJKL dan PBSM dan tampil kehadapan membuat aktiviti-aktiviti amal sebegini serta masyarakat lebih membuka mata untuk sama-sama turun ke padang membantu NGO-NGO seperti ini.

Bagi pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan dan membantu pihak DJKL bolehlah menghubungi Quratulain di talian +6019-2734090, e-mel [email protected] atau boleh terus memberi sumbangan ke akaun CIMB 8008984696 (Kelab Dapur Jalanan Kuala Lumpur).

Pihak DJKL sekarang sedang giat berikhtiar mencari sumbangan untuk membaiki atau mendapatkan sebuah van yang lebih baik untuk membawa barangan bantuan memandangkan van sedia ada agak tidak selamat digunakan dalam keadaan usang.

Maklumat lanjut tentang DJKL boleh dilihat di laman sesawang https://linktr.ee/djkl.

FOTO KREDIT TTG KL

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button