pilihanSukan

Nasib jurulatih tampar dua pemain perempuan diputuskan Rabu ini

Rabu ini akan menentukan untung nasib jurulatih skuad bola tampar perempuan Melaka Bawah 14 tahun (B14) Melaka sama ada akan digantung tugasnya atau sebaliknya kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.

Menurutnya, jurulatih terbabit serta dua pemain perempuan terbabit dalam insiden pada 16 Disember lalu akan dipanggil untuk memberi keterangan akan dihadiri wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Melaka.

VP Shanmugam.

Beliau berkata, pihak pengurusan skuad bola tampar yang menyertai Kejohanan Remaja B-14 di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember lalu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Hasil daripada pertemuan tersebut barulah kita dapat memutuskan sama ada jurulatih terbabit akan digantung atau sebaliknya.

“Sebelum kita membuat keputusan pertemuan semua pihak perlu diadakan bagi mendapat maklumat dan keterangan lanjut daripada semua pihak walaupun laporan penuh kejadian itu sudah dihantar kepada MSN semalam dan KBS esok.

“Kita juga harus meneliti rekod jurulatih itu sebelum ini sepanjang menjadi jurulatih dan sumbangannya juga harus diambil kira sebelum hukuman diambil,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam satu kenyataan semalam, mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih tersebut ekoran tular mengenai insiden terbabit di laman sosial.

“Buat masa ini jurulatih itu digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai,” jelas kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengecam tindakan individu yang didakwa sebagai jurulatih menampar dua pemain bola tampar perempuan dalam satu video yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Shanmugam, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan daripada MAVA berhubung tindakan menggantung sementara jurulatih tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, jurulatih terbabit telah memohon maaf kepada kedua-dua pemain tersebut sejurus tamat saingan separuh akhir menyaksikan Melaka tewas 2-3 kepada Johor dalam saingan separuh akhir.

Katanya, jurulatih itu juga telah menemui kedua-dua ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf ekoran insiden tersebut di samping menjelaskan perkara yang sebenarnya terjadi.

“Saya anggap perkara ini sudah diselesaikan apabila ibu bapa dan pemain menerima permohonan maaf jurulatih itu dan mereka tidak berhajat untuk membuat sebarang laporan polis,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan rekod jurulatih ini merupakan kejadian pertama yang berlaku sejak dia menjadi jurulatih pemain-pemain sejak mereka di bangku sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Dia adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan saya juga menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku. Apa pun kita tunggu keterangan daripada semua pihak sebelum sebarang keputusan dibuat,” ujarnya. – SM

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button