Politik

PRU15: BN Perak tidak letak janji kosong dalam manifesto

IPOH – Manifesto BN Perak tidak dipetakan semata-mata untuk memasuki medan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia dipetakan berdasarkan kajian yang teliti serta dibina hasil garapan idea, pandangan dan pengharapan segenap lapisan rakyat.

Katanya, rakyat Perak jelas mahukan sebuah negeri yang makmur dan sejahtera.

“Sepanjang hampir dua tahun mengemudi pentadbiran kerajaan negeri, BN telah merangka serta melaksanakan pelan Perak Sejahtera 2030.

“Ia tidak sahaja menggariskan pelbagai usaha dan ikhtiar bagi membangunkan semula negeri ini selepas pandemik Covid-19, tetapi juga mempersiapkan Perak untuk menghadapi cabaran getir ekonomi dan sosial pada tahun-tahun mendatang.

“Manifesto ini tidak dicipta dengan anyaman retorik dan janji-janji muluk untuk sekadar menyedapkan halwa telinga rakyat,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook.

Jelas Menteri Besar Perak ini lagi, ia adalah dokumen yang menggariskan perancangan yang realistik dan boleh dicapai demi manfaat setiap lapisan rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama.

“Ia bukan sahaja memberi jawapan kepada segala keluh kesah rakyat dalam mengharungi situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, tetapi juga menghamparkan perancangan jitu untuk membina masa hadapan yang cerah untuk rakyat dan negeri.

“Moga usaha-usaha baik kita untuk membangunkan negeri dan rakyat sentiasa diberkati,” ujar beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button