Nasional

Program Korban RAHMAH: Econsave Muar sumbang 200 ekor kambing

DI bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Program Korban RAHMAH hari ini, Pasaraya Econsave menyumbang 200 ekor kambing bernilai RM200,000 untuk diserahkan kepada Yayasan RAHMAH.

Pasaraya Econsave melaksanakan 4 inisiatif dibawah Program RAHMAH yang terdiri daripada Jualan RAHMAH, Jualan Daging RAHMAH Sempena Hari Raya, Harga Borong RAHMAH dan hari ini Korban RAHMAH.

“Dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Econsave Cash & Carry memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh membeli barangan pada harga yang rendah.

“Sehingga kini, Pasaraya Econsave masih menawarkan kempen Jualan RAHMAH yang telah dilancarkan pada 11 Januari 2023,” kata Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Korban RAHMAH bersama Pasaraya Econsave di Econsave Muar, Johor.

Memetik kenyataannya, Salahuddin berkata, sehingga kini, lebih 3,000 jenis harga barangan telah diturunkan sepanjang Program Jualan RAHMAH diadakan.

Katanya, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan di samping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga.

“Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keperihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

“KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan,” katanya.

Beliau menegaskan, KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.

Pada masa yang sama, tambah beliau, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button