Hiburan

Aslam dan Marissa Tampil di Mahkamah Syariah, Kes Nikah Masih Tergantung

PASANGAN sensasi Ahmad Aslam dan isteri keduanya, Marissa Dania Hakim, hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bagi menghadiri prosiding pertama pengesahan pendaftaran pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla, Thailand.

Namun begitu, prosiding berkenaan terpaksa ditangguhkan atas faktor teknikal berkaitan permohonan borang pengesahan nikah luar negara yang belum lengkap.

Menurut Aslam, mereka telah diarahkan untuk mengemas kini semula maklumat peribadi sebelum kembali ke mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Ada sedikit masalah mengenai permohonan borang. Kami diminta untuk lengkapkan maklumat dan hadir semula nanti. Buat masa ini saya tak boleh ulas lebih kerana menghormati prosedur mahkamah,” ujar Aslam ketika ditemui.

Beliau turut memaklumkan bahawa segala urusan berkaitan pengesahan nikah telah diserahkan kepada pihak peguam.

Dalam pada itu, Marissa enggan memberi sebarang kenyataan kepada pihak media dan hanya berjalan beriringan dengan suaminya tanpa membuka mulut.

Peguam syarie mereka, Muhammad Ammar, turut mengesahkan bahawa prosiding ditangguhkan dan siasatan akan diteruskan pada tarikh baharu yang tidak didedahkan atas permintaan anak guam.

Pasangan itu tiba di mahkamah dengan memakai pelitup muka dan difahamkan berada di dalam dewan bicara hampir sejam.

Terdahulu, perkahwinan antara Aslam dan Marissa yang berlangsung pada 27 Disember 2023 di Songkhla menjadi kontroversi kerana didakwa dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan, yang ketika itu berada di Tanah Suci menunaikan umrah.

Selain itu, pernikahan tersebut juga dikatakan berlaku tanpa restu keluarga Marissa, termasuk ibu bapanya yang juga pelakon terkenal, Norman Hakim dan Abby Abadi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button