Hiburan

”Saya Harap Awak Faham’’ – Isteri Edika Yusof Menangis Sebelum Cerai

PELAKON veteran, Edika Yusof, 56, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Nor Hidayah Yusri, selepas 21 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Lafaz cerai dibuat oleh Edika pada jam 10.42 pagi, Isnin, di hadapan Hakim Syarie, Syed Muhammad Syahadi Syed Siksh di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Edika hadir ke mahkamah tanpa peguam, manakala Nor Hidayah diwakili peguam syarie, Mohd Yazid Hazim.

Difahamkan, Nor Hidayah memfailkan permohonan cerai pada Februari lalu dengan menyenaraikan 10 alasan utama yang menyebabkan rumah tangga mereka tidak lagi dapat dipertahankan.

Sebelum lafaz cerai dilakukan, Edika memilih untuk tidak memberikan sebarang ucapan akhir. Namun, Nor Hidayah tidak dapat menahan sebak ketika menyatakan penghargaan terhadap kebaikan Edika sepanjang perkahwinan mereka.

“Saya buat keputusan ini kerana hukum. Saya harap awak faham,” ujar Nor Hidayah sambil menangis.

Mahkamah mengesahkan perceraian mengikut Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan memerintahkan Nor Hidayah menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.

Edika dan Nor Hidayah mendirikan rumah tangga pada tahun 2004 dan dikurniakan tiga orang anak. Perkahwinan mereka sebelum ini sering dijadikan contoh kesetiaan, terutama apabila Edika setia menjaga isterinya yang lumpuh sejak hampir dua dekad lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button