
MAIPs perlu sedia hadapi cabaran kompleks – Raja Muda Perlis
ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan kepentingan agar Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu yang lebih kompleks.
Baginda bertitah bahawa perubahan yang berlaku di peringkat global, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, atau teknologi, perlu diberi perhatian agar pentadbiran agama di Perlis terus relevan dan progresif.
“Kita tidak boleh sekadar bergantung kepada pendekatan tradisional atau konvensional semata-mata. MAIPs perlu terus menerus menyesuaikan perancangan strategiknya bagi memastikan peranan institusi ini kekal relevan dan mampu memberikan manfaat terbaik kepada masyarakat Islam secara menyeluruh”.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Sena, Kurong Anai dekat Arau.
Program ini merupakan salah satu inisiatif utama anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha menyantuni serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri Perlis.
Kayuhan amal ini juga mendapat sokongan daripada ketua-ketua jabatan serta agensi-agensi kerajaan Negeri dan Persekutuan, yang bersama-sama turun padang bagi mengenal pasti serta mendekati golongan asnaf secara lebih mesra dan bersemuka.
Pendekatan ini membolehkan bantuan disalurkan secara lebih efektif dan menyeluruh kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga asnaf yang terpilih. Bantuan yang disalurkan oleh MAIPs kali ini merangkumi wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli, serta beras fidyah yang bertujuan untuk membantu keperluan harian penerima.
Antara penerima bantuan ialah Norhisham Ahmad, 73 tahun dari Kampung Sena Kurong Anai, Md Isa Saad, 80 tahun dari Kampung Katong; dan Zaina Ishak, 78 tahun dari Kampung Sungai Durian.
Selain program kayuhan dan penyerahan sumbangan, Baginda turut berkenan mengadakan lawatan ke Yanies Rest House, sebuah rumah inap yang terletak di Kubang Siput, Pauh.
Rumah inap ini menawarkan suasana yang tenang serta sesuai untuk percutian keluarga atau kumpulan. Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang yang luas serta kawasan lapang yang ideal bagi pelbagai aktiviti luar.
FOTO