
Kilang tuntut Rm4.65 juta dari syarikat Fazura
Syarikat milik bersama selebriti popular, Nur Fazura Sharifuddin dan abangnya, Ahmad Faiz Sharifuddin, kini berdepan saman berjumlah RM4.65 juta selepas didakwa gagal melunaskan bayaran kepada pembekal tudung sejak dua tahun lalu.
Obor Holding Sdn Bhd, pemilik jenama Feline Malaysia, memfailkan tuntutan terhadap syarikat Pink Fate Sdn Bhd yang diasaskan oleh Fazura, berhubung bekalan tudung yang dihantar sejak Jun 2022.
Menurut tuntutan, jumlah keseluruhan tudung yang dibekalkan mencecah RM7.33 juta, namun hanya RM2.68 juta sahaja yang telah dibayar, meninggalkan baki tertunggak sebanyak RM4.65 juta.
Apa yang memburukkan keadaan, lima lagi pesanan baharu telah dibuat oleh pihak Pink Fate pada Jun dan September 2024 bernilai RM3.6 juta, walaupun hutang terdahulu masih belum dijelaskan.
Lebih mengejutkan, Faiz didakwa memberi jaminan bahawa tempahan tambahan itu adalah untuk pihak Kementerian Pendidikan menerusi inisiatif Koleksi Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada Julai 2024.
Bagaimanapun, dalam usaha melunaskan sebahagian hutang, Faiz telah menyerahkan cek bernilai RM1 juta yang turut ditandatangani Fazura pada September 2024. Namun, cek berkenaan dilaporkan tidak dapat ditunaikan dan disertakan notis “Return Cheque Advice” daripada pihak bank.
Setakat ini, pihak Fazura belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.