Nasional

Produk pekasam istimewa Empangan Timah Tasoh

KEENAKAN menikmati ikan pekasam bersama nasi panas, sukar digambarkan sehingga diumpamakan mak mentua lalupun tidak sedar.

Ikan pekasam memang cukup popular di negeri sebelah Utara termasuk Perlis di mana sebelum itu dikenali sebagai makanan bermusim.

Ini memandangkan ikan air tawar seperti puyu dan sepat yang biasanya digunakan untuk membuat pekasam cuma diperoleh pada musim menuai padi.

Sejak wujudnya Empangan Timah Tasoh, dekat Padang Besar yang menjadi lubuk pelbagai jenis ikan air tawar, dilihat sebagai pembuka jalan untuk penghasilan ikan pekasam sepanjang tahun.

Sebagai satu-satunya pusat ikan air tawar terbesar di Perlis, Komuniti Perikanan (MyKP) Kawasan Empangan Timah Tasoh Perlis telah mengambil daya usaha mengeluarkan produk pekasam secara komersial di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Perlis.

Timbalan Pengerusinya, Abd Azhar Abd Aziz berkata, produk ikan pekasam Timah Tasoh ini menggunakan enam jenis ikan iaitu lampam, “peacock bass”, talapia, selat, sepat benua dan bongkok dimulakan sejak 2018.

“Ikan air tawar dari Empangan Timah Tasoh memang memberikan rasa pekasam yang sangat istimewa,” katanya.

Beliau berkata, kaum wanita yang terlibat dalam komuniti MyKP ini akan melakukan tugas menyiang ikan sebelum dijadikan sebagai pekasam.

“Selesai semua ini baharu ikan-ikan ini diletakkan garam dan disalut dengan perapan utama iaitu beras goreng yang telah dihancurkan,” katanya.

Katanya, sebanyak 150 kilogram pelbagai jenis ikan tawar ini dijadikan produk ikan pekasam pada setiap bulan.

Beliau berkata, setiap pek ikan pekasam seberat 250 gram ini dijual dengan harga RM4.

Bagaimanapun katanya, jika membeli tiga pek harga yang ditawarkan hanya RM10.

Azhar memberitahu, setakat ini pekasam keluaran MyKP ini juga dihantar ke luar dari Perlis seperti di Johor dan Selangor.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 01157600702.

Beliau berkata, pekasam boleh didapatkan secara terus di kiosk pekasam di Santuari Ikan Air Tawar, Empangan Timah Tasoh, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar.

“Pada yang pernah makan ikan pekasam MyKP ini biasanya akan kembali untuk membeli atau membuat tempahan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button