Agama

Raja Muda Perlis bertitah tingkatkan amalan termasuk bersedekah di bulan Ramadan

4 Mac 2025.
Behor Mali.

Ramadan bukan sahaja tentang menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala seperti melakukan perkara yang sia-sia.

Selain meningkatkan amalan ibadah seperti solat, membaca Al-Quran dan bersedekah, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan doa serta istighfar.

Ramadan juga mengingatkan kita akan kepentingan bersedekah dan membantu mereka yang kurang bernasib baik. Justeru, marilah kita sama-sama mengambil peluang ini untuk membantu golongan yang amat memerlukan, agar Ramadan kita akan lebih bermakna dan diberkati. InsyaAllah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sumbangan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Hidayah Titi Beratap, Behor Mali baru-baru ini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bagi majlis yang bertujuan menyalurkan zakat kepada golongan yang layak seperti fakir, miskin, muallaf, amil, dan asnaf lain seperti yang ditetapkan dalam syariat Islam.

Dalam majlis tersebut, Duli-Duli Tuanku berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada 150 orang asnaf, melibatkan 75 penerima dari Anak Kariah Titi Beratap dan 75 lagi dari Anak Kariah Tok Kaya. Setiap penerima menerima sumbangan zakat berjumlah RM700, menjadikan keseluruhan agihan sebanyak RM105,000 pada sesi kali ini.

Selain penyampaian sumbangan, para asnaf turut berpeluang menjalani saringan pemeriksaan kesihatan percuma dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri serta menghadiri ceramah bermanfaat seperti “Menjauhi Najis Dadah” oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan “Bangun Jiwa Asnaf” daripada pihak MAIPs.

Majlis ini bukan sahaja meringankan beban golongan asnaf tetapi juga menyuntik semangat untuk mereka terus berusaha memperbaiki kehidupan.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button