
Raja Muda berangkat lancar kesedaran wakaf, infak peringkat Perlis
4 Mac 2025.
Simpang Empat.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan ‘Kempen Kesedaran Berwakaf dan Berinfak Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025’, yang berlangsung di Bazar Ramadan Simpang Empat sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli.
Kempen yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan menggalakkan masyarakat Islam memperbanyakkan amalan wakaf dan infaq sepanjang Ramadan sebagai sebahagian daripada ibadah serta tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab.
Menurut kenyataan media MAIPs, kempen ini turut memperkenalkan skim wakaf tunai yang membolehkan masyarakat berwakaf dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kepentingan pembangunan ummah. Antara skim yang diperkenalkan ialah Wakaf Ilmu bagi menyokong institusi pendidikan, Wakaf Buku dan Kitab untuk membantu penyediaan bahan bacaan pengajian Islam, serta Wakaf Pembinaan dan Penyelenggaraan yang memastikan kelangsungan infrastruktur masjid, surau, dan pusat kebajikan Islam. Selain itu, inisiatif wakaf khas turut diwujudkan bagi menyediakan bantuan berkaitan kemudahan kesihatan untuk masyarakat yang memerlukan.
“Selain itu, MAIPs turut menggesa umat Islam untuk melaksanakan potongan wakaf daripada gaji secara bulanan melalui majikan masing-masing. Langkah ini diharap dapat memudahkan umat Islam berwakaf secara konsisten dan berterusan,” menurut kenyataan itu lagi.
Kempen ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Perlis menyertai usaha kebajikan melalui wakaf dan infaq, seterusnya memperkukuhkan solidariti masyarakat dalam membangun negeri yang lebih sejahtera.
Untuk maklumat lanjut mengenai skim wakaf tunai dan cara menyumbang, orang ramai boleh melayari www.maips.gov.my atau terus menyumbang secara dalam talian di bayaran.maips.gov.my.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli dan menyantuni serta menyalurkan sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Simpang Empat.
Baginda berkenan untuk menyampaikan sendiri sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli berserta beras fidyah bagi menampung keperluan khususnya pada bulan yang mulia ini.
Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini adalah Pok Man, 90 tahun dari Kampung Batas Lintang, Miss Daenab, 62 tahun dari Jalan Sungai Baru dan Ku Lah Ku Desa, 68 tahun dari Kampung Sungai Baru.
FOTO