Hiburan

Harapkan Untung, dapat bala, Noraniza Idris rugi RM630,000 akibat ditipu

‘HARAPKAN pegar, pegar makan padi.” Begitulah nasib penyanyi terkenal, Noraniza Idris, yang mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah akademi keusahawanan. Niatnya untuk menjalinkan kerjasama akhirnya membawa padah apabila akademi tersebut gagal melunaskan bayaran bagi kira-kira 20,000 pek muruku yang diambil, menyebabkan beliau mengalami kerugian mencecah RM630,000.

Memetik Oh Bulan, Noraniza, 57, beliau menyedari telah ditipu apabila akademi tersebut gagal membuat sebarang pembayaran selepas mengambil kira-kira 20,000 pek muruku daripadanya.

“Saya menerima pelawaan mereka kerana ingin membantu dan menyokong aktiviti kebajikan (CSR). Namun, niat baik saya dikhianati apabila mereka melanggar perjanjian dengan hanya membuat bayaran sekitar RM3,000 secara berperingkat,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada Selasa.

Tambah penyanyi lagu Dikir Puteri itu, sejak menyedari perkara tersebut pada Jun tahun lalu, beliau telah beberapa kali menuntut bayaran daripada pihak terbabit. Namun, sehingga kini, pelbagai alasan diberikan, menyebabkan jumlah kerugian yang ditanggungnya mencecah RM630,000.

Kerugian Besar dan Pembuangan Pekerja

Noraniza menjelaskan bahawa kerugian tersebut bukan sahaja melibatkan hasil jualan muruku, tetapi turut merangkumi kos pembelian mesin khas pembuatan muruku, pencetakan, pembungkusan berlogo syarikat tersebut, serta pembayaran gaji pekerja.

**“Untuk memenuhi permintaan syarikat terbabit, saya terpaksa menambah kakitangan. Namun, apabila perkara ini berlaku, saya terpaksa mengurangkan jumlah pekerja daripada 20 orang kepada hanya empat sahaja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.

“Saya tidak boleh menutup perniagaan ini kerana ia adalah perniagaan keluarga. Mahu atau tidak, saya perlu meneruskannya kerana masih mendapat permintaan atas talian,”** ujarnya.

Gangguan Emosi dan Tuntutan Keadilan

Lebih menyedihkan, kejadian ini turut memberi kesan kepada keluarganya, terutama anak-anaknya yang telah berusaha keras membangunkan perniagaan tersebut sejak setahun lalu.

**“Saya kasihan melihat anak-anak kerana mereka sanggup berjaga malam untuk memastikan kilang ini beroperasi. Saya nekad membuat laporan polis supaya kami mendapat hak kami semula dan sebagai peringatan kepada pihak lain agar tidak terpedaya dengan individu seperti ini.

“Saya juga berharap pihak terbabit tampil memberi penjelasan mengenai tindakan mereka, agar syarikat lain lebih berhati-hati,”** katanya lagi.

Terdahulu, akademi latihan keusahawanan berkenaan didakwa menawarkan peluang kepada Noraniza untuk menjual produknya di platform mereka. Namun, akibat kegagalan mereka menunaikan perjanjian, penyanyi itu kini berdepan dengan kerugian besar dan masalah operasi perniagaannya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button