Politik

PRN Sabah: Pulun kempen sebelum 11.59 malam, esok mengundi

CALON-CALON yang bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hanya ada masa untuk berkempen sehingga pukul 11.59 malam ini.

Tepat pukul 12.01 tengah malam nanti, semua ceramah kempen tidak lagi dibenarkan kerana itu adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) tidak kira sama ada pilihan raya yang dijalankan itu di Sabah atau pun di Semenanjung.

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam, calon-calon yang bertanding giat menjaja isu masing-masing untuk memancing undi daripada 1.12 juta pengundi berdaftar di Sabah.

Mana-mana Presiden parti di Sabah sekarang ini ligat membuat kenyataan dan penafian asalkan calon parti menang pada pemilihan esok, Sabtu.

Ada juga Presiden parti di Sabah yang juga calon pada PRN ke-16 ini menyatakan bahawa rakyat Sabah memandang UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti dari sebelah Semenanjung. Motif? Maksud?

“Rakyat Sabah memandang UMNO dan BN sebagai parti dari Semenanjung. Mereka mengaku memiliki autonomi tetapi orang tidak lagi percaya, tidak aka nada campur tangan dari Malaya (tanah Semenanjung dirujuk sebagai Malaya oleh pemimpin berkenaan) sekiranya BN kembali berkuasa,” kata individu berkenaan.

Memainkan sentiment ‘Malaya’, ‘Semenanjung’, ‘autonomi’, ‘Sabah for Sabahans’ adalah ‘modal murahan’ calon-calon PRN Sabah kali ini.

Kemungkinan besar dalam usaha si polan ini untuk meraih kemenangan, mendapatkan undi daripada para pengundi yang mengundi di DUN ditandinginya, dia menggunakan modal ‘politik yang diperjuangkan olehnya berbeza dengan politik yang diperjuangkan oleh …’

Kenyataan ‘politik yang diperjuangkannya berbeza’ tidak pula diperincikan tetapi sekadar retorik politik yang dipelajarinya sejak sekian lama.

Masakan dia tidak belajar apa-apa kerana pernah duduk sebagai Menteri Kabinet di Semenanjung dengan memegang portfolio penting, tidak hairanlah jika balik ke negeri asalnya, dia tubuhkan parti dan menjaja kenyataan ‘orang Sabah jelas mahukan satu parti tempatan, parti Sabah untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya.’

Pelik pula membaca kenyataan beliau kerana SATU parti membentuk kerajaan Sabah sedangkan parti yang membentuk kerajaan di Sabah di bawah Ketua Menteri (bekas ketua menteri), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Warisan, mempunyai parti-parti komponen di bawahnya.

Tiada siapa yang mahu menyangkal, semua calon yang bertanding pada PRN Sabah mahu muncul sebagai hero.

Hero yang berjuang dan memperjuangkan nasib dan hak orang Sabah selain daripada menyatakan, rakyat Sabah tidak mahu masa depan mereka diputusakan oleh orang lain.

Katanya lagi, rakyat Sabah juga tidak lagi mahu dipengaruhi oleh orang lain dan parti yang baru ditubuhkannya tidak bertuankan parti dari Semenanjung, tidak berkhidmat dengan mana-mana parti politik dari Semenanjung.

Kuat, cukup kuat parti baru yang berkenaan dan kempen yang dijalankannya, dengan manifesto yang tidak diketahui apakah ia, akan berhenti pada pukul 11.59 malam ini.

Esok, hari mengundi. Pengundi di Sabah, undilah dengan bijak, buatlah percaturan dengan baik kerana tidak semestinya yang baru itu elok, yang lama itu buruk. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button