PRN Sabah: PBS berhenti kempen di dua DUN, bantu calon STAR
KEMUNGKINAN parti di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berkompromi bagi mengelakkan pertembungan antara satu sama lain semakin menjadi kenyataan apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) sudah menghentikan kempen di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.
Di dua DUN itu, PBS mencapai persetujuan untuk menyokong calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR). Ia mambabitkan DUN Tambunan dan Bingkor yang mana PBS bersetuju menghentikan kempen dan mengarahkan jenteranya agar membantu calon STAR.
Pengumuman mengenai kesepakatan itu dibuat oleh Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim dan Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.
Pada hari penamaan calon sebelum ini, PBS meletakkan Peter Jino Allion untuk bertanding di Bingkor manakala STAR pula diwakili Robert Tawik.
Bagi DUN Tambunan, PBS meletakkan Silverius Bruno sementara Dr. Jeffrey bertanding mempertahankan kerusi berkenaan.
Sebagai timbal balas, STAR akan menggerakkan jenteranya membantu calon PBS di DUN Api-Api dan Bengkoka.