Politik

PRK Slim: Calon BN optimis capai 14,000 undi

CALON Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Mohd. Zaidi Aziz, yakin untuk capai sasaran 14,000 undi kali ini.

Sasaran yang pernah dimaklumkan sebelum ini dikatakan berpotensi untuk dicapai apabila proses pengundian PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini berjalan lancar.

Situasi sedemikian juga dijangka menguatkan lagi sasaran untuk mencapai majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-014).

“Saya yakin dapat tingkat jumlah undi berbanding PRU lalu.

“Saya ucap terima kasih petugas jentera yang bertungkus-lumus bawa keluar pengundi sejak awal pagi.”


Kata Mohd. Zaidi ketika membuat tinjauan di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Aminuddin Baki, Slim River, Perak pagi tadi, seperti dilapor portal MalaysiaGazette.

Beliau juga berkata demikian berdasarkan kebersamaan parti politik seperti Pas dan Bersatu yang dapat mempengaruhi penyokong masing-masing untuk mengundi BN.

Terdahulu, penyandang kerusi DUN Slim, Allahyarham Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu sesak nafas.

Ketika PRU-14 pada 2018, Allahyarham menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS dengan memperoleh majoriti 2,183 undi.

Allahyarham yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu mendapat 8,327 undi sementara Bersatu yang diwakili Mohd. Amran Ibrahim atas tiket PKR peroleh 6,144 undi.

Manakala calon Pas, Muhammad Zufadli Zainal pula memperoleh 4,103 undi.

Kali ini, BN berhadapan dengan persaingan tiga penjuru menentang calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam.

Amir Khusyiri bagaimanapun mendapat sokongan daripada parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

PRK Slim berlangsung hari ini selepas melalui sesi berkempen selama dua minggu sejak penamaan calon pada 15 Ogos lalu.

Sebanyak 12 pusat mengundi dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Sulaiman, SK Trolak Utara, SK Trolak Selatan dan SK Seri Besout.

Selain itu SK Besout 3 dan 5, SK Kuala Slim, SK Slim River, SK Aminudin Baki, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungkai, SJKT Ladang Kelapa Bali dan SJKT Trolak. – SM

(Visited 64 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button