Hiburan

Polis nafi suspek ugut bunuh artis berkumpulan Radja dibebaskan dengan jaminan RM10,000

Jaminan polis bukan bermaksud beri wang kepada polis. Radja, jangan salah faham.

Polis Johor menepis dakwaan artis berkumpulan dari Indonesia, Radja berhubung RM10,000 diterima sebagai jaminan untuk melepaskan dua suspek yang mengugut kumpulan muzik itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia prosedur biasa bagi individu disiasat dalam sesuatu kes dibebaskan dengan jaminan polis tanpa membabitkan sebarang bayaran.

“Itu (dilepaskan) jamin polis…maksudnya jaminan polis ini bukan memberi wang kepada polis sebaliknya jaminan polis bagi memastikan suspek menghadiri dan memberi kerjasama atas siasatan dijalankan.

“Kita tetap akan menyiasat dakwaan ahli kumpulan itu (Radja). Sekiranya benar wujud sebarang salah laku termasuk elemen salah guna wang seperti yang didakwa,” katanya menurut Harian Metro.

BACA >> Ugut bunuh kumpulan Radja dari Indonesia: Pemilik syarikat pengurusan didakwa

Beliau berkata, siasatan polis terhadap kes ugut bunuh ke atas kumpulan Radja itu dianggap selesai kerana seorang suspek dihadapkan ke mahkamah pagi tadi.

“Saya sudah bercakap dengan anggota Radja pagi tadi. Dalam perbualan telefon itu, mereka mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak polis dalam kes ini,” ujar beliau.

Ahli kumpulan Radja dalam video wawancara dengan media Indonesia mendakwa dua suspek utama kes itu dilepaskan selepas membayar jaminan polis RM10,000.

Radja
Radja

Pengurus Radja membuat laporan polis pada awal pagi Ahad lalu mendakwa artisnya menerima ugutan bunuh dan kata-kata kesat selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di Johor Bahru, kira-kira pukul 11.15 malam Sabtu lalu, dipercayai akibat salah faham yang berlaku di antara kumpulan Radja itu dengan pihak penganjur.

Susulan itu, polis menahan seorang warga tempatan berusia 37 tahun dan seorang warga asing berusia 48 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada petang, hari sama.

Pagi tadi, pemilik syarikat pengurusan acara, CS Muremthiram yang dihadapkan ke mahkamah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap anggota kumpulan Radja pada Sabtu lalu. – SM

.
Dapatkan berita Suara Merdeka dengan pantas terus ke Whatsapp anda.
>> Klik dan sertai Suara Merdeka sebelum tinggalkan halaman ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button