HiburanMahkamah

Ugut bunuh kumpulan Radja dari Indonesia: Pemilik syarikat pengurusan didakwa

SEORANG pemilik syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja, pada Sabtu lepas.

CS Muremthiram, 37, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam mahu membunuh ahli kumpulan itu iaitu Ian Kasela, 49, Seno Aji Wibowo, 43 dan Mouldyanshah Mulyadi, 49, dengan niat menyebabkan mereka berasa cemas.

Muremthiram didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik rehat artis berkenaan di Stadium Arena Larkin pada 11 malam.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Amarpreet Singh.

Hadir sama, peguam pemerhati bagi Radja dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru Mohd Daud Ismail.

Terdahulu, Sharifah Natasha memohon jaminan RM8,000 dan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu kumpulan itu dan saksi pendakwaan.

Amarpreet memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri, ibu bapa yang uzur serta dua adiknya.

Selain itu, tertuduh yang berpendapatan sekitar RM3,000 sehingga RM3,500 terpaksa menanggung kerugian hampir RM300,000 daripada penganjuran konsert Radja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes. – SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button