Politik

PKR dapat 7 kerusi: Maruah untuk menang lebih penting – Shafie

PARTI Keadilan Rakyat yang mengumumkan akan bertanding 14 buah Dewan Undangan Negeri semalam hanya diperuntukkan 7 kerusi sahaja dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal, berkata keutamaan yang lebih ditekankan dalam pilihan raya hujung bulan ini ialah peluang untuk memenangi kerusi berbanding isu maruah sesebuah parti.

Shafie berkata, beliau memberitahu perkara tersebut kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.

“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.

“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.

“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya semasa berucap sebelum mengumumkan 54 calon yang akan bertanding di bawah lambang Warisan hari ini.

Mengikut agihan kerusi Pakatan Harapan Plus, Warisan yang diketuai Shafie bertanding di 46 DUN, UPKO (12)
PKR  (7), DAP (7) dan Amanah (1).

Semalam Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek dalam kenyataan media berkata, parti itu  akan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan ini.

Simsudin berkata jumlah itu adalah munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN kali ini.

Beliau berkata, jumlah itu dimaklumkan ketika rundingan terakhir PKR dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) membabitkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pimpinan tertinggi PKR sebelum ini.
Empat belas kerusi DUN yang diingini oleh PKR adalah Api-Api; Inanam; Tempasuk; Tamparuli; Matunggong; Klias; Sook; Kemabong; Segama; Limbahau; Sg Manila; Membakut; Pintasan serta Petagas.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button