Sukan

Sikap netizen semakin menjijikkan: Peminat Djokovic ‘serang’ penjaga garisan

SEJAK media sosial diperkenalkan kepada pengguna internet, tingkah laku manusia kini seperti tidak mengenal batas peradaban. Ramai yang menggunakan media sosial sebagai tempat mereka melampiaskan perasaan marah atau meninggalkan komentar yang kadang kala mengguris hati individu yang menjadi sasaran kritikan.

Sudah hilangkah budi pekerti kita sebagai manusiawi yang dididik dengan akal yang waras sehingga segelintir pengguna media sosial tergamak meninggalkan kata-kata yang kesat dan menghina peribadi orang lain?

Adakah kerana wajah anda tidak dapat dilihat secara nyata, maka, ia menjadi satu platform untuk anda sesuka hati mencemuh orang tanpa ada rasa belas ihsan.

Dalam insiden terbaru yang menimpa seorang penjaga garisan yang bertugas pada kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS), Laura Clark cukup menjijikkan.

Apakah kesilapan yang dilakukan wanita itu sebenarnya? Bagi anda yang tidak tahu menahu mengenai punca Clark dicemuh dan dihina oleh netizen, begini kisahnya.

Clark telah ditugaskan sebagai penjaga garisan membabitkan perlawanan antara bintang tenis Serbia, Novak Djokovic menentang wakil Sepanyol, Pablo Carreno Busta, Isnin lalu (waktu Malaysia) di peringkat 16 terbaik pada Terbuka AS.

Sewaktu permainan set pembukaan, pemain No. 1 dunia itu telah ditentang hebat oleh Busta yang mengejarnya dari belakang sehingga berjaya memintas pungutan mata Djokovic.

Ekoran kekecewaan terhadap permainannya, Djokovic telah bertindak memukul bola tenis dengan sekuat hatinya ke belakang gelanggang sehingga mengenai bahagian tekak Clark yang berasal dari Kentucky.

Insiden itu menyebabkan Clark jatuh tersungkur dan diberi rawatan oleh staf perubatan di Stadium Arthur Ashe kerana dia berdepan kesukaran untuk bernafas akibat pukulan kuat ke lehernya.

Akibat daripada insiden berkenaan, Djokovic telah disingkirkan daripada kejohanan itu dan dilucutkan haknya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 190,000 pound (RM1.02 juta).

Pemain berusia 33 tahun itu juga didenda sebanyak 7,600 pound (RM41,100) kerana gagal mempamerkan semangat kesukanan.

Dalam kejadian ini cukup jelas siapa yang bersalah dan siapa pula yang menjadi mangsa. Tetapi yang anehnya, Clark pula yang menjadi mangsa hinaan netizen yang menuduh wanita itu berpura-pura kesakitan.

Menurut laporan Daily Express, akaun media sosial milik wanita itu diserang oleh netizen yang meninggalkan mesej keji termasuklah meninggalkan kata-kata ejekan mengenai kematian anak lelaki Clark bernama Josh yang terkorban dalam kemalangan basikal sewaktu berusia 25 tahun.

Ini antara kata-kata hinaan netizen terhadap Clark: “Jangan bimbang, anda akan mengikut jejak anak anda tidak lama lagi.”

Sementara satu lagi komen menyokong kenyataan tersebut dengan berkata: “hahahahahahahaha YEEEEES, YEEEEEEEES.”

Clark yang membuat promosi minuman beralkohol di Instagram miliknya turut menjadi sasaran ejekan pengguna media sosial.

Seorang netizan menulis: “Anda boleh minum berliter-liter alkohol tetapi tidak boleh menahan kesakitan akibat terkena pukulan bola tenis? Lakonan yang teruk. Tidak tahu malu.”

Berikutan cemuhan yang diterima Clark, Djokovic telah merayu kepada para peminatnya agar berhenti daripada menghina penjara garisan itu. Djokovic sendiri telah memohon maaf di atas tingkah lakunya itu.

Bagi netizen yang melemparkan kata-kata cacian itu, mungkin anda boleh cuba merasai pukulan kencang Djokovic sebelum meninggalkan kata-kata kesat seperti manusia yang tidak bertamadun.

Pukulan bola tenis seorang pemain bertaraf dunia seperti Djokovic tidak boleh diambil mudah kerana kelajuan bola tersebut boleh mencecah ratusan kilometer sejam.

Kesakitan yang terpaksa ditanggung Clark pada ketika itu seperti orang sedang mencekek lehernya sehingga sukar untuk bernafas.- SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button