Politik

PKR akur tanding 7 kerusi

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akur hanya mendapat 7 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Semalam, parti itu melalui Ketua Penerangan PKR Sabah, Simsudin Sidek mengumumkan PKR akan bertanding 14 kerusi.

Bagaimanapun dalam pengumuman calon yang dibuat oleh Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal hari ini, PRK hanya mendapat 7 kerusi sahaja.

Menurut Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, Majlis Pimpinan Negeri parti itu telah mencapai kata sepakat dengan rakan sekutunya, Warisan untuk bertanding 7 kerusi sahaja.

“Keputusan ini telah dipersetujui oleh Presiden PKR dan Setiausaha Agung parti dan menyokong keputusan yang diambil oleh kepimpinan negeri demi kebaikan rakyat Sabah.

“Kami harap dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, UPCO dan amanah dalam memastikan kami tetap strategik, stabil dan padu,” kata Christina dalam satu kenyataan.

PKR bagaimanapun akan kekal menggunakan logonya sendiri dalam pilihan raya nanti.

Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diberikan DUN Matungging. Tempasuk, Tamaruli, Inanam, Api Api, Klias dan Sook.

Semalam Simsudin berkata, PKR akan bertanding di 14 DUN iaitu Api-Api; Inanam; Tempasuk; Tamparuli; Matunggong; Klias; Sook; Kemabong; Segama; Limbahau; Sg Manila; Membakut; Pintasan serta Petagas.

Menurut Simsudin, jumlah itu adalah munasabah memandangkan bilangan kerusi DUN juga meningkat dari 60 sebelum ini kepada 73 untuk PRN kali ini.

Beliau berkata, jumlah itu dimaklumkan ketika rundingan terakhir PKR dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) membabitkan Shafie dan pimpinan tertinggi PKR sebelum ini.

Siang tadi, ketika membuat pengumuman, Mohd Shafie berkata keutamaan yang lebih ditekankan dalam pilihan raya hujung bulan ini ialah peluang untuk memenangi kerusi berbanding isu maruah sesebuah parti.

Katanya hal itulah yang dinyatakan pihaknya kepada Anwar ketika presiden PKR merangkap ketua pembangkang di parlimen itu berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.

“Ini bukan masa untuk kita memberikan kerusi, ini masa untuk kita memenangi pilihan raya.

“Ia bukan soal: ‘Oh, parti kami akan dipandang rendah kalau kami dapat jumlah yang lebih kecil’.

“Bukan soal maruah parti yang jadi keutamaan kita. Maruah untuk kita menang pilihan raya yang lebih penting,” katanya semasa berucap sebelum mengumumkan 54 calon yang akan bertanding di bawah lambang Warisan hari ini.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button