Rencah Hidup

PKP2.0: Hari suram pemandu teksi

SELAIN peniaga, mereka yang terkesan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya pemandu teksi ataupun e-hailing.

Tetapi sebenarnya, pemandu teksilah paling terkesan, mereka hanya berharap kepada kehadiran penumpang dalam sesuatu kawasan sama ada tumpuan orang ramai dan sebagainya.

Bagaimanapun, ketika penguatkuasaan PKP penumpang berkurangan mendadak, malah kawasan tumpuan pun tidak menjanjikan pendapatan.

Malah sebahagian pemandu juga mengeluh apabila terkejut tanggapan hujung minggu akan ada penumpang lebih ramai berbanding hari biasa ternyata meleset.

“Saya keluar rumah pukul 7 pagi, standby dekat kawasan-kawasan tumpuan sampailah pukul 8 malam cuma dapat sekitar RM10 ke RM30.

“Itu pada hari biasa, tunggu pada hujung minggu pun sama juga, ada pemandu teksi yang tiada penumpang langsung. Tunggulah berjam-jam pun tak ada penumpang.”

Demikian luahan pemandu teksi, Abdullah Awang, 70, ketika ditemui wartawan dan juruvideo Suara Merdeka dalam satu tinjauan di ibu kota pada hujung minggu ketika penguatkuasaan PKP.

Dalam tinjauan tersebut, Suara Merdeka bertemu dengan beberapa pemandu teksi dan mendengar luahan mereka yang rata-ratanya mengeluh menghadapi kesukaran untuk berhadapan dengan PKP.

Begitu juga perkara sama dihadapi pemandu, Sharipuddin Abdullah, 60, yang hampir berputus asa jika keadaan seperti ini berlarutan sehingga beberapa hari.

“Saya ada tujuh orang anak yang perlu ditanggung dan pendapatan diraih dengan memandu teksi. Tetapi kalau sehari cuma boleh dapat RM20, saya mahu bawa apa untuk pulang ke rumah?

“Itu belum isi minyak lagi. Kalau keadaan macam ini berterusan silap-silap beberapa hari nanti mesti balik rumah tangan kosong. Seorang penumpang pun susah hendak dapat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pemandu, Azmi Harun, 61, mencadangkan kerajaan memberi bantuan khusus kepada pemandu teksi untuk menyara hidup sepanjang PKP.

Ini kerana, dengan keadaan pendapatan harian tidak menentu, situasi itu pasti menyukarkan pemandu untuk meneruskan kehidupan dan memandu teksi.

“Bayangkan kalau ada pemandu yang seharian mencari penumpang tetapi tidak ada seorang pun naik, keluar rumah awal pagi balik lewat malam pun tak ada penumpang, ini memang sukar.

“Saya berharap, kerajaan memandang kami pemandu teksi, berilah bantuan seperti kali pertama PKP dilaksanakan tahun lepas. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban,” rayunya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan PKP2.0 bermula 13 Januari lalu hinggalah 26 Januari.

Bagaimanapun, ramai pihak bertanggapan PKP2.0 ini tidak akan berakhir pada Januari ini, sebaliknya berkemungkinan besar dilanjutkan selama beberapa minggu lagi memandangkan kes baharu jangkitan Koronavirus (Covid-19) masih lagi tinggi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button