Politik

PH gagal jatuhkan kerajaan PN melalui cara tebuk atap – Hadi

Pakatan Harapan gagal menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional melalui cara tebuk atap, kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, tanpa sebarang keraguan bahawa Kabinet baharu di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada pentabiran perdana menteri sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin

“Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh Pakatan Harapan (PH) dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka.

“Jangan dipedulikan tuduhan yang ditujukan terhadap kerajaan PN, kononnya telah gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini.

“Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan,” kata Abdul Hadi.

Menurut beliau, pertukaran perdana menteri dari Muhyiddin kepada Ismail Sabri berlaku dengan tidak memecahkan kerajaan PN.

Situasi yang dihadapi PN sangat berbeza dengan PH yang tidak mampu menukar perdana menteri selepas peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyaksikan PH terus retak lalu berpecah.

Sementara itu, menurut Abdul Hadi, walaupun Kabinet baharu dikatakan sebagai Kabinet kitar semula, namu ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.

“Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap.

“Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya. Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu,” kata Abdul Hadi.

Tambah beliau, Kabinet baharu yang dibentuk oleh Ismail Sabri boleh meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya.

Abdul Hadi berharap Kabinet baharu memberi tumpuan kepada aspek untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat ketika mengharungi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik Covid-19.

Peranan petugas barisan hadapan juga perlu diberikan perhatian yang lebih serius dari segi pengorbanan harta dan jiwa raga demi menyelamatkan nyawa rakyat dan negara.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button