fbpx
Ekonomi

Perodua tawar rebat tunai tiga hingga enam peratus bagi semua model

PERODUA menawarkan rebat tunai di antara tiga dengan enam peratus bagi kesemua model tidak termasuk harga insurans, mulai hari ini hingga 14 Jun, 2020.

Pembuat kereta tempatan itu menerusi kenyataan hari ini berkata ia juga akan mengekalkan harga baharu tersebut bagi sepanjang tempoh pengurangan cukai yang diumumkan perdana menteri baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata rebat tunai bagi pembelian kenderaan Perodua itu diberikan wlaupun tempoh pengurangan cukai hanya akan bermula 15 Jun, 2020.

“Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan.

“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuat kuasa 15 Jun,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Perodua berkata ini menepati pengumuman Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas.

Antara insentif untuk membantu industri automotif termasuk pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50 peratus bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

Zainal Abidin berkata Perodua menyokong penuh langkah kerajaan untuk memberikan pengecualian cukai jualan sepenuhnya bagi pembelian kenderaan CKD sehingga akhir tahun ini dalam usaha pemulihan ekonomi domestik.

““Pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan CKD menyakinkan industri automotif, bukan sahaja pelanggan malah keseluruhan ekosistem yang terdiri daripada pengeluar, pembekal dan pengedar.

“Seiring dengan kadar pinjaman yang rendah pada waktu ini, kami optimis langkah ini dapat mendorong penjualan kenderaan baharu,” katanya.

Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam tempoh lima bulan pertama 2020, menguasai 41 peratus pasaran berbanding jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat ini bagi 2020.

Syarikat itu berkata berdasarkan kandungan tempatan melebihi 90 peratus bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.– BERNAMA

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button