Ekonomi

Syarikat-syarikat besar teruskan jalinan kerjasama kukuhkan lagi ekonomi negara

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan keyakinannya terhadap Perodua untuk memasarkan produknya ke peringkat antarabangsa.

Keyakinan itu berdasarkan komitmen berterusan Perodua kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif RM7 bilion secara purata setiap tahun.

Perdana Menteri berkata, keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

“Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun.

“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini kita yang mengeksportkannya ke Jepun,” katanya pada majlis Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu, hari ini.


Ismail Sabri berkata, Kerajaan menyedari kepentingan potensi industri automotif terhadap ekonomi negara selepas negara beransur pulih daripada pandemik Covid-19.

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan pertumbuhan 17.9% dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit pada tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan tahun lepas.

Pihak Perodua pula mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit iaitu 30.2% bagi tahun ini berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas.

“Saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan.

“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 6.4% berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lepas,” jelas beliau.

Namun, kata Ismail Sabri, negara kini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran tersebut namun usaha ini tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

“Justeru saya ingin menyeru agar syarikat-syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, Kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak tahun 2006.

Dan Perodua, kata Perdana Menteri lagi, menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mahu pemegang saham Perodua antaranya Permodalan Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, MBM Resources Berhad, Daihatsu Motor Company of Japan dan sebagainya meneruskan kerjasama secara harmoni.

“Kestabilan ini amat penting bagi mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan sahaja kepada para pelanggan dan para pekerjanya malah kepada Kerajaan,” ujar beliau.

Beliau berkata, usaha yang telah dilaksanakan oleh Perodua juga harus menjadi contoh kepada syarikat-syarikat tempatan yang lain di mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua.

“Saya mengambil maklum bahawa kenderaan keluaran Perodua kini bertapak di enam buah negara dan saya yakin jumlah eksport itu mampu dipertingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Kerajaan juga, kata Ismail Sabri, bersedia membantu Perodua untuk meluaskan pasaran yang sedia ada dan membantu mencari pasaran baharu.

“Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekaligus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini,” katanya. – SM

(Visited 26 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button