Perodua ‘belanja sedikit’ bentuk Alza 2022 dalam video baharunya
Model tersebut hampir jelas sama dengan Toyota Avanza/Daihatsu Xenia
PERODUA telah mula ‘belanja sedikit’ rupa bentuk Alza 2022 (kod nama model D27A) dalam video baharu yang disiarkan ke saluran media sosialnya. Video itu, yang sebenarnya lebih memfokuskan pada pelan tindakan mampan Smart Build oleh pembuat kereta tempatan kedua itu, mengandungi beberapa babak yang memaparkan bentuk Alza yang akan datang, tetapi tidak dapat di lihat dengan jelas kerana ianya dipaparkan dalam keadaan yang samar-samar.
Berdasarkan apa yang kita dapat lihat, jelas sekali Alza serba baharu akan berasaskan Toyota Avanza/Daihatsu Xenia. Profil MPV Perodua serba baharu hampir sama dengan sepupu rapatnya, tetapi terdapat beberapa perbezaan gaya yang ketara.
Pertama, D27A nampaknya mendapat wajah berbentuk X hampir sama dengan gaya reka bentuk hadapan Ativa. Lampu hadapan juga direka semula supaya lebih bersudut berbanding pada Avanza dan Xenia, dan gril unik Perodua.
Mengenai pencahayaan, lampu depan pemantul LED menampilkan jalur cahaya mendatar di bahagian atas setiap kelompok yang berfungsi sebagai lampu penentu kedudukan seperti yang didapati pada model Ativa. Lampu kabus pula tidak berbentuk bulat seperti Avanza baharu tetapi sebaliknya berbentuk segi empat tepat.
Beralih ke bahagian belakang, rekaan lampu belakang tidak jauh berbeza dengan Avanza, kerana ia mempunyai ‘design signature’ berbentuk L yang sama dengan Avanza dah ditukar dengan logo Perodua di tengah. Kami tidak dapat melihat bahagian dalam melalui video tersebut tetapi menjangkakan ia hampir serupa dengan kedua-dua MPV Toyota dan Daihatsu.
Mengenai kuasa D27A, model itu bakal dikuasakan dengan enjin empat silinder Dual VVT-i Avanza 2NR-VE 1.5 liter dengan 106 PS dan tork 138 Nm. Ini berdasarkan lencana ‘Dual VVT-i’ sama seperti 2NR-VE dalam Avanza dipasangkan dengan D-CVT dengan pacuan roda hadapan, kemungkinan besar ianya serupa dengan Alza baharu ini.
Tiga varian bakal disediakan kepada pelanggan, iaitu X, H dan AV. Pada ketika ini, kami masih belum mempunyai tarikh pelancaran rasmi, adakah anda teruja menanti Alza baharu? – SM
Artikel berkaitan > Perodua Myvi ‘facelift’ 2022 dengan rasminya dilancarkan