Auto TravelEkonomi

Perodua Myvi ‘facelift’ 2022 dengan rasminya dilancarkan

ASA 3.0, transmisi Dwi-mod CVT, tiada lagi varian transmisi manual, harga bermula dari RM45,700

PERODUA melancarkan model Myvi baharu pada hari semalam dengan penambahbaikan dalam sistem keselamatannya iaitu Perodua Smart Drive Assist (PSDA) meliputi Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 3.0, Bantuan Pemanduan, Bantuan Parkir dan Bantuan Lampu Utama. Penambahbaikan bagi Generasi Ketiga Myvi ini direka dengan mengambil kira faktor keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abdidin Ahmad, sejak membuka tempahan sembilan hari lalu, Perodua sudah menerima 4,303 tempahan dengan penghantaran serta-merta bermula hari ini.

“Myvi baharu yang menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan, mempunyai teknologi canggih, ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan, penjimatan bahan api yang lebih baik, penampilan baharu yang ‘sporty’. Varian Myvi baharu termasuk 1.5 liter AV (Advance), varian 1.5 liter H, varian 1.5 liter X, 1.3 liter G dan 1.3 liter G (basic),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Zainal, ciri-ciri penuh boleh didapati dalam varian AV, yang melayakkannya menjadi kereta dengan teknologi Autonomi 2.


“Ini adalah pertama kali dalam sejarah Malaysia, syarikat kereta menawarkan kereta dengan Autonomi Tahap 2 di bawah harga RM60,000,” ujarnya.

Harga varian Myvi baharu bermula dari RM45,700 hingga RM58,800.

Senarai harga Myvi Baharu 1.3G (tanpa PDSA) ialah RM45,700, 1.3 G (RM47,700), 1.5X (RM49,900), 1.5H (RM53,900), 1.5 AV (RM58,800).

Jelasnya, semua varian di bawah Myvi baharu akan menampilkan transmisi baharu iaitu Dwi-mod CVT (Continuous Variable transmision) dengan menggantikan transmisi empat kelajuan.

“Dwi-mod CVT akan meningkatkan lagi kecekapan trasmisi, ringan, dan bersaiz kompak, memberikan lebih kuasa pecutan dan lancar pada kelajuan rendah serta menjadikan kenderaan lebih senyap selain kecekapan bahan api. Myvi Baharu mampu mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus atau tambahan satu kilometer bagi setiap liter bahan api serta 20 peratus pecutan yang ditambah baik,” jelasnya.

Semua varian hanya didatangkan dalam transmisi automatik kerana Perodua sudah menghentikan transmisi manual daripada barisannya.

Myvi baharu juga menampilkan warna baharu iaitu Cranberry Red yang hanya tersedia untuk varian AV serta warna lain termasuk Ivory White, Glittering Silver, Lava Red, Granite Grey dan Electric Blue.

Pelancaran varian baharu dengan penambahbaikan ini adalah yang terbaharu sejak Perodua melancarkan Generasi Ketiga pada 2017.

Myvi mula diperkenalkan pada Mei 2005 dan Perodua telah menjual kira-kira 1.3 juta unit setakat ini dengan 277,329 unit bagi varian Generasi Ketiga berjaya dijual. – SM

(Visited 112 times, 3 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button