PERLIS hari ini secara rasmi mengumumkan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka (face mask)di masjid dan surau di seluruh negeri ini.
Arahan ini berkuatkuasa mulai hari ini, 1 Ogos 2023 bersamaan 14 Muharram 1445.
Perkara berkenaan dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
“Walaubagaimanapun, pemakaian pelitup muka masih digalakkan bagi mereka yang bergejala dan mengalami risiko dijangkiti,” titah Baginda yang juga Yang Di Pertua MAIPs.
Baginda bertitah, arahan ini adalah selaras dengan perkembangan terkini seperti yang dimaklumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan pandemik Covid-19.
Titah Baginda, Covid-19 juga telah berpotensi mereda pada tahun ini sehingga suatu tahap ia menular seperti selsema, serta selari dengan penurunan kes dan kadar vaksinasi.
Baginda bertitah, malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengumumkan kelonggaran SOP pemakaian pelitup muka berkuatkuasa pada 5 Julai lalu.
“Pada kesempatan ini, beta turut menyempurnakan titah penghargaan Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis kepada seluruh rakyat yang dikasihi, kerana sentiasa memberikan kerjasama kepada MAIPs serta Agensi-agensi bersamanya dalam membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri Perlis tercinta,” titah Baginda.
Titah Baginda, semoga Allah sentiasa memberikan taufiq, hidayah dan pimpinan-Nya buat kita semua serta mengekalkan keamanan, keselamatan serta kemakmuran Negara dan Negeri tercinta. – SM
BACA MAIPs memperuntukkan RM505,000 pengurusan 101 masjid di Perlis
BACA Jawatankuasa Masjid pastikan penceramah bertauliah – Pemangku Raja Perlis