Nasional

Perkosa kanak-kanak: Polis digesa ambil tindakan serius

PIHAK polis digesa mengambil tindakan serius terhadap insiden perkosa yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak perempuan dalam lokap di Sarawak.

Ini termasuklah menangani masalah tersebut daripada berulang kembali seperti menyediakan garis panduan khusus penahanan pesalah dalam lokap.

Selain itu, polis juga wajar mempertingkatkan kawalan keselamatan dalam lokap termasuklah memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Adalah amat penting bagi satu siasatan dijalankan demi kepentingan kanak-kanak kerana kejadian seperti ini tidak seharusnya berlaku, terutamanya apabila kanak-kanak tersebut berada di bawah pengawasan pegawai penguatkuasa undang-undang.

“Acap kali, kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang ada kecenderungan untuk dilupakan, walhal pada hakikatnya, kanakkanak adalah mangsa dan penjagaan asas untuk melindungi mereka amat diperlukan.

“Saya difahamkan bahawa kes ini sedang dalam siasatan, saya berpendapat bahawa pihak polis hendaklah mengambil tindakan serius dan segera untuk menangani perkara tersebut.

“Termasuk mengkaji semula semua garis panduan (SOP) bagi lokap dan mempertingkatkan fasilitinya seperti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan hak kanak-kanak dilindungi.”

Kata Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal, mengulas insiden melibatkan seorang tahanan perempuan berusia 16 tahun menjadi mangsa serangan seksual itu.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan diperkosa tahanan lain di lokap Balai Polis Pusat Miri pada 9 Januari lalu.

Susulan kejadian tersebut, kecuaian pengurusan tahanan di balai polis berkenaan dipersoalkan dan dua anggota bertugas ketika itu dilapor digantung tugas.

Dalam pada itu, Noor Aziah turut menimbulkan kebimbangan terhadap kaedah perlindungan kanak-kanak oleh kerajaan ketika mereka ditahan.

“Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.

“Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga ingin menekankan bahawa Malaysia, sebagai sebuah Negara Pihak bagi Konvensyen mengenai Hak Kanak Kanak (CRC), mempunyai kewajipan untuk melaksanakan tindakan yang diperlukan bagi melindungi hak kanak-kanak.

“Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) akan terus membuat pemantauan susulan terhadap isu ini dan akan memanjangkan cadangan yang sesuai dalam memastikan hak serta keselamatan kanak-kanak dilindungi,” ujarnya. – SM

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button