Politik

Parti Melayu PN gagal memuaskan jangkaan rakyat, pelabur

TIGA parti Melayu dalan Perikatan Nasional iaitu Bersatu, UMNO dan PAS didakwa telah gagal memuaskan jangkaan rakyat dan pelabur ketika negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil, sungguhpun hampir setahun memerintah, terlalu banyak kepincangan dalam kerajaan PN dari segi tadbir urus ekonomi, pentadbiran kerajaan persekutuan dan pembanterasan wabak Covid-19.

“Hari ini, Malaysia bukan sahaja terkebelakang dari aspek menarik pelabur asing tetapi juga pembelian vaksin Covid-19. Proses vaksinasi untuk majoriti rakyat hanya akan bermula pada suku ke-3 2021 ataupun lebih lama.

“Lagi lama proses vaksinasi dilanjutkan, semakin lama masa akan diambil untuk mencapai pemulihan ekonomi. Sudahlah moratorium pinjaman tidak dilanjutkan, kuasa beli rakyat Malaysia pula akan terus dihimpit sentimen yang lemah dan ini akan menyebabkan lebih ramai hidup susah dan mengancam sosio-ekonomi rakyat negara ini,” kata Faiz dalam satu kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Pulau Pinang itu mendakwa, walaupun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin telah mengumumkan pakej bantuan PERMAI semalam namum ia hanyalah satu pelan kitar semula idea-idea lama sekadar menunjukkan kerajaan kononnya prihatin.

Setakat ini, katanya, tiada perancangan dan visi konkrit dan efektif dibuat kerajaan PN bagi melonjak ekonomi negara.

Menurut Faiz, sepatutnya, pada hari Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 diumumkan, strategi membantu rakyat dan perniagaan tempatan menghadapi impak PKP turut diumumkan.

Justeru beliau mendesak agar Muhyiddin melepaskan jawatan perdana menteri agar negara dipimpin oleh individu lain yang boleh memulihkan ekonomi negara.

“Barulah sentimen tempatan dapat terus disokong dan ekonomi rakyat boleh distabilkan. Namun, semua ini tidak berlaku. Malahan, walaupun di waktu pandemik ini, kerajaan PN masih meneruskan dasar pembaziran dan gagal mengutamakan prinsip integriti dalam pengurusan ekonomi negara.

“Justeru, tidak hairanlah Malaysia terus jatuh ke belakang bawah pentadbiran kerajaan minoriti PN. Yang menjadi mangsa adalah rakyat.

“Maka, Tan Sri Muhyiddin seharusnya berundur dan melepaskan jawatan Perdana Menteri secara bermaruah. Ekonomi negara hanya dapat dipulihkan jika negara mempunyai kepimpinan yang jitu dan ikhlas untuk memastikan kestabilan politik terjamin,” katanya.-SM

 

 

(Visited 262 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button