Politik

Perbuatan khianat sembur cat di papan iklan poster Shahril Hamdan

Tidak sampai 24 sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiga papan iklan memaparkan wajah calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan telah disembur cat berwarna merah.

Bukan setakat wajah calon itu disembur cat malah poster berkenaan tertulis perkataan ‘loser’.

Wakil Briged Gempur BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Mohd. Ghazali Baharuddin berkata, tindakan khianat itu berlaku di Taman Manggis, di persimpangan Kampung Bukit Bulat dan persimpangan Kampung Air Pasir.

Menurutnya, perkara tersebut disedari oleh ahli parti itu yang ketika itu melalui jalan tersebut kira-kira pukul 8.00 pagi tadi.

Beliau berkata, yang menjadi pelik kerana beberapa poster calon-calon lain yang bertanding di Parlimen berkenaan tidak pula diconteng atau disembur cat berwarna merah.

“Tindakan ini saya anggap sebagai tidak bertamadun dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seolah-olah dengki terhadap calon BN bertanding di sini.

“Perbuatan ini sangat menjengkelkan dan keanak-anakan itu dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut kerana cuba mengaibkan calon BN,” ujarnya dalam sidang akhbar di persimpangan Kampung Air Pasir di sini hari ini.

Menurutnya, sejurus menerima aduan tersebut dia bersama Ketua Penerangan BN Machap Jaya, Nizam Baharom telah pergi ke tiga lokasi tersebut dan mendapati berlaku perbuatan khianat ke atas papan iklan tersebut.

Sehubungan itu katanya, dia dan Nizam telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

“Kami harap pelaku ini diambil tindakan sewajarnya oleh pihak polis dan dikenakan hukuman yang setimpal,” ujarnya yang menyifatkan itu merupakan kejadian pertama berlaku sejak selepas hari penamaan calon pada 5 November lalu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button