Nasional

Muhammad Jailani mohon maaf kepada Disneyland

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis hari ini memohon maaf kepada syarikat konglomerat media terbesar dari Amerika Syarikat (AS), Walt Disney Company atas kekeliruan kenyataan Projek pembinaan Taman Tema Disneyland dan Disney City di Jasin, Melaka pada 2027.

Menjelaskan perkara tersebut beliau berkata, tidak ada perbincangan atau sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) diadakan dengan Disney sebaliknya perkara tersebut adalah perancangan daripada Metrolink Sdn. Bhd. dan bukannya daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, Syarikat Metrolink Sdn. Bhd. hanya menyatakan rancangan mereka untuk membawa Disney City di Melaka dan bagi pihak kerajaan negeri perkara tersebut amat dialu-alukan.

“Jadi ini sebenarnya satu perancangan daripada syarikat itu. Kami tidak ada mengatakan bahawa sudah ada usaha ataupun persetujuan dari segi MoU atau MoA dengan Disney.

“Justeru, saya ingin memohon maaf kepada pihak Disneyland atas salah tanggapan serta salah faham ini dan saya menyedari Disney mempunyai reputasi yang sangat baik.

“Berlakunya kekeliruan ini tentang Disney City atau Disneyland ini adalah perancangan syarikat terbabit dalam merancang untuk membina sistem Maglev dan kalau boleh ada satu spot untuk Disney masuk.

“Tapi kami tidak pernah mengatakan bahawa telah termeterai penjajian ataupun mana-mana MoU dengan pihak Disney. Kami tidak pernah mengatakan perkara itu,” ujarnya dalam sidang akhbar di
pejabat Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP), Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Metrolink Sdn. Bhd., Dr. Parimalam Michael dan Pengurus Besar BPP, Saari Basiron.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya pada Rabu lalu menyebut sebuah Taman Tema Disneyland dan Disney City berkeluasan 80.9 hektar terbesar di Asia Tenggara akan dibina di Jasin pada 2027.

Ekoran laporan sebuah portal milik kerajaan negeri berhubung pembinaan taman tema Disneyland di Melaka dilaporkan sebagai palsu.

Berdasarkan perkongsian di Twitter oleh penulis Asia CNN Digital, Heather Chen yang berjaya mendapatkan komen daripada pegawai Disney Parks, Experiences and Products (DPEP), ia mendapati berita berkenaan tidak tepat.

Mengulas lanjut Muhamad Jailani berkata, beliau berharap dengan penjelasan tersebut tidak timbul sebarang perkara berkaitan yang tular di media sosial selepas ini.

Jelasnya, ramai pihak telah tersalah anggap dengan kenyataan tersebut serta digembar-gemburkan seolah-olah taman tema tersebut sudah pasti akan dibina di Melaka.

“Saya yakin tidak melakukan kesilapan mahu pun syarikat tersebut melakukan kesilapan kerana mereka sekadar mmaklumkan kepada kami hasrat untuk membawa Disney ke sini, ini maksud, hasrat
dan perancangan,” ujarnya. -SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button