Penjawat awam di Melaka terima gaji 17 November
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, gaji penjawat awam di negeri ini akan menerima gaji lebih awal iaitu pada 17 Novemver ini, dua hari sebelum rakyat keluar mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, keputusan membayar gaji lebih awal daripada kebiasaan itu dibuat kerana memahami keperluan rakyat yang akan menunaikan tanggungjawab membuang undi pada 19 November ini.
Katanya, keputusan itu adalah selaras dengan Kerajaan Persekutuan yang mengumumkan pembayaran gaji awal pada 17 November ini.
“Sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat akan kita ikuti kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sealiran dan kita menyokongnya.
“Jangan bimbang kita beri gaji awal, akhir tahun memang banyak (kewangan) diperlukan, untuk anak-anak, bercuti dan sebagainya jadi kita ikut tarikh sebagaimana ditetapkan kerajaan pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bandar Universiti Yayasan Melaka (BuyMe) di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman serta Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Yusof Jantan.
Kelmarin, media melaporkan penjawat awam dan pesara kerajaan bakal menerima bayaran gaji serta pencen lebih awal bagi bulan ini iaitu masing-masing pada 14 dan 17 November berbanding pada 25 hari bulan seperti kebiasaannya.
Menerusi surat dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 7 November lalu, Perbendaharaan Malaysia dimaklumkan telah bersetuju untuk meluluskan permohonan pengecualian AP 105 bagi membolehkan pengeluaran gaji dan pencen diawalkan.
Difahamkan, inisiatif itu diberikan bagi membolehkan pengundi pulang ke kawasan masing-masing sempena PRU15 pada 19 November depan. – SM