Kemalangan

“Pelajar UPSI dengar bunyi kuat dipercayai letupan tayar” – KPT

Tanjong Malim – Kejadian bas kitaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kemalangan hingga terbabas di pinggir jalan sekitar laluan Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ke Kampus Sultan Azlan Shah di Jalan Slim Lama pada 9 November semalam telah melibatkan 56 penumpang beserta seorang pemandu.

Menurut Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar kejadian berlaku dipercayai berpunca dari tayar bas yang pecah ketika dipandu terbabas dari pinggir jalan sejauh kira-kira 70 meter ke tebing jalan dan meyusuri longkang di dalam semak bukanlah ke dalam gaung seperti yang didakwa.

“Saya amat bersimpati atas kejadian insiden kemalangan yang menimpa kalangan para pelajar dan warga universiti pada hari ini, ketika bertemu mahasiswa yang terlibat, kita bersyukur mangsa-mangsa terlibat tidak mengalami kecederaan serius.

 

“Dua pelajar menerima rawatan pesakit luar setelah salah seorang menjalani pemeriksaan x-ray dan doktor mengesahkan tiada kecederaan serius.

“Seorang daripada pelajar menerima jahitan di dahi dan dirawat sebagai pesakit luar,” jelasnya ketika kunjungan ke Dewan Kolej Harun Aminurrashid, Kampus Sultan Azlan Shah menyantuni hampir keseluruhan para mahasiswa yang terlibat dalam kemalangan.

Husaini menerusi kenyataannya berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus proaktif dalam memastikan keselamatan pelajar berada pada tahap yang terbaik selaras dengan dasar KPT Prihatin.

Beliau turut menggesa kepada para pelajar terus berhubung dengan pihak universiti supaya mendapatkan rawatan susulan jika mengalami rasa kesakitan berterusan.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata ketika kejadian, pihaknya telah menerima laporan kenderaan disahkan diselenggara mengikut jadual berkala di samping mendapat pemeriksaan PUSPAKOM setiap enam bulan.

“Ketika kejadian juga,  kapasiti maksimum yang dibenarkan berdasarkan kontrak perkhidmatan ialah 60 orang pelajar.

“Malah, hasil semakan pada Global Positioning System  (GPS) pada sistem kawalan pemanduan bas mendapati bas dibawa pada kelajuan yang dibenarkan iaitu 72Km/Jam pada ketika kejadian berlaku,” jelasnya.

Md Amin dalam kenyataanya turut memaklumkan, pihaknya akan terus memantau keselamatan pelajar serta memberi sokongan menerusi khidmat nasihat kaunseling menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dengan penglibatan Majlis Perwakilan Pelajar di kampus.-SM

 

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button