Politik

Pengundi di Utara Johor lebih teruja calon PN dan BN

MUAR 11 Mac – Tinggal beberapa jam lagi tempoh berkempen bagi semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan berakhir.

Esok episod baharu apabila rakyat Johor akan keluar mengundi di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagi empat kawasan Parlimen di Utara Johor iaitu Pagoh, Ledang, Bakri dan Muar senario lebih melihat calon-calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjadi pilihan rakyat di kawasan berkenaan.

Tinjauan Wartawan Suara Merdeka sejak lebih seminggu meninjau ke semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat kawasan Parlimen itu menjurus kepada PN dan BN untuk menang.

Bagi calon-calon daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pejuang, Muda dan Bebas dilihat kurang mendapat perhatian daripada pengundi di setiap DUN.

Malah ada penduduk langsung tidak tahu kehadiran calon daripada Pejuang dan Muda bertanding dalam PRN Johor.

Bagi calon daripada PKR dan PH pula, rakyat Johor tidak boleh  melupakan tempoh 22 bulan parti tersebut memerintah negara.

Banyak kepincangan yang berlaku menyebabkan rakyat menolak terus calon-calon daripada parti itu untuk menang kali ini.

Ini termasuk penyandang di DUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayob dari PH pula dilihat bakal tumbang.

Ini kerana penduduk tidak lagi gemar dengan sikap wakil rakyat bermusim itu kerana sepanjang tempoh tiga tahun beliau tidak memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di situ.

Sebaliknya peluang PH hanyalah di lokasi yang ramai pengundi Cina iaitu di DUN Bentayan dan DUN Tangkak.

“Saya tak tahu ada parti Pejuang dan Muda. Mereka ni siapa? Yang saya tahu hanya PN atau BN,” ujar seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Karman ketika ditemui di Bukit Pasir.

Sebaliknya, calon-calon daripada PN dan BN dilihat lebih menonjol dan mendapat perhatian daripada pengundi.

Kubu kuat PN di Bukit Gambir dan Bukit Kepong yang ditandingi Mohd. Solihan Badri serta Datuk Dr. Sharuddin Jamal diramal tidak tergugat.

Ini kerana rakyat di DUN berkenaan tidak akan lupa jasa yang diberikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendorong pengundi dilihat cenderung untuk memilih PN.

Selebihnya, peluang BN atau PN adalah 50-50 iaitu di Serom, Maharani, Bukit Naning, Sungai Balang, Bukit Pasir dan Simpang Jeram.

Seorang pemerhati politik ketika ditemui berkata, sewaktu PRN di Melaka, November tahun lalu, seminggu berada di sana sudah dapat meramalkan 13 kerusi DUN milik BN.

“Namun sewaktu berada di Utara Johor kami masih tidak dapat meramalkan peluang BN atau PN dilihat ada kelebihan.

“Peluang dilihat 50-50 segalanya mungkin terjadi. Tinjauan melihat hanya calon PN dan BN paling mendapat perhatian.

“Lain-lain parti bolehlah lupakan hasra untuk menang melainkan calon di DUN yang mempunyai ramai pengundi Cina,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button