Nasional

Pengguna nikmati 105 hari tempoh skim harga musim perayaan

TAMBAHAN senarai barang dan lanjutan tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada setiap musim perayaan memberi manfaat kepada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata keseluruhan tempoh pelaksanaan skim itu adalah sebanyak 105 hari daripada 365 hari setahun mulai tahun lepas, berbanding hanya 50 hari sebelumnya.

“Saya memperkenalkan tambah bilangan hari dan tambah bilangan barang ini mulai tahun lepas, iaitu pada musim perayaan Hari Raya Puasa dan saya teruskan untuk Deepavali dan Krismas dan pada Januari nanti untuk Tahun Baharu Cina. Bagi semua perayaan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Kembali Ke Sekolah dan Kempen Sokong Barangan Buatan Malaysia di sini, hari ini selepas diminta mengulas sama ada akan ada pertambahan senarai barang dan lanjutan tempoh SHMMP untuk musim perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

“Bilangan hari (pelaksanaan SHMMP bagi perayaan Tahun Baharu Cina) akan bertambah dan bilangan barangan yang akan kita masukkan sebagai barangan harga kawalan juga akan meningkat,” katanya.

SHMMP yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikuat kuasa pada musim perayaan Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Hari Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. – BERNAMA

(Visited 71 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button